Dua bot nelayan Vietnam leka candat sotong ditahan - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan Vietnam leka candat sotong ditahan

MOHD. Firdaus Mohd. Anuar memeriksa sotong kering yang ditangkap secara haram oleh nelayan Vietnam dari perairan Kuala Terengganu di Jeti Markas Maritim Terengganu, Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUTQRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua bot nelayan Vietnam yang sedang leka mencandat sotong di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Mohd. Firdaus Mohd. Anuar berkata, kedua-dua bot nelayan itu ditahan pada jarak 155 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Mohd. Firdaus berkata, APMM turut merampas sejumlah hasil laut termasuk sotong, peralatan menangkap ikan dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta dalam Op Naga Barat itu adalah

Menurut beliau, seramai 12 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 19 sehingga 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1993 dan Akta Perikanan 1985.

“Setelah dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia, kedua-dua bot nelayan asing berkenaan bertindak melarikan diri dan dikejar hampir sejam sebelum ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 12 kru ini tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Ketibaan musim sotong telah menyebabkan pencerobohan nelayan asing meningkat dan kami mendapati dua buah bot ini memang digunakan untuk mencandat,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd. Firdaus menjelaskan, kes berkenaan merupakan tangkapan ke-10 sepanjang tahun ini membabitkan nelayan warga Vietnam dan ke-135 sejak 2019 dengan nilaian rampasan RM280 juta.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan meningkatkan rondaan dan pengawasan di kawasan perairan negara bagi menghalang pencerobohan nelayan asing ketika musim mencandat sotong.

“Selain menjaga sumber hasil laut negara, Op Naga Barat juga akan diteruskan bagi memastikan keselamatan nelayan-nelayan tempatan yang keluar menangkap ikan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN