280 individu ditahan selepas Paris Saint-German menang Liga Juara-Juara UEFA - Utusan Malaysia

280 individu ditahan selepas Paris Saint-German menang Liga Juara-Juara UEFA

POLIS tahan lebih 280 individu selepas Paris Saint-German menang piala UEFA. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Polis menahan lebih 280 individu di Paris pada Sabtu selepas tercetus pertempuran dan kekacauan ketika ribuan penyokong membanjiri jalan raya susulan kemenangan Paris Saint-Germain ke atas Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA di Budapest, Hungary.

Seramai 22,000 anggota polis dikerahkan di seluruh Perancis bagi mengawal keadaan sepanjang perlawanan itu, termasuk 8,000 orang di Paris.

Ia berlaku selepas kejayaan PSG dalam pertandingan sama tahun lalu turut dicemari insiden keganasan. Laluan trem di Paris dihentikan, beberapa stesen metro ditutup dan perkhidmatan bas digantung di beberapa kawasan bagi mengurangkan risiko gangguan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, seramai 416 individu ditahan di seluruh negara, termasuk 283 orang di Paris. Bagaimanapun, jumlah mereka yang direman untuk siasatan lanjut belum diketahui.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata, tujuh anggota polis cedera dan menyifatkan insiden keganasan itu sebagai sama sekali tidak boleh diterima.

Sebanyak enam kenderaan dan dua premis perniagaan mengalami kerosakan.

Sekumpulan penyokong turut menceroboh jalan lingkaran Paris, Peripherique menyebabkan lalu lintas terhenti seketika sambil menyalakan suar, menurut jurugambar AFP di lokasi.

Ketika penyokong meraikan kemenangan dramatik menerusi penentuan sepakan penalti di Budapest, kira-kira 20,000 orang berhimpun di Champs-Elysees, menurut polis.

Pemilik kedai memasang papan penutup pada tingkap premis masing-masing sebelum perlawanan bagi mengelakkan kejadian sama berulang seperti tahun lalu apabila kumpulan belia merosakkan dan menjarah kedai di Champs-Elysees serta beberapa jalan lain. 

Ratusan individu ditahan ketika itu.

Pada Sabtu, polis merampas lebih 12 belas  suar dan kira-kira 100 bunga api, manakala sebuah hentian bas berhampiran Champs-Elysees dimusnahkan.

Perlawanan itu berlangsung ketika Paris turut menjadi tumpuan beberapa acara besar lain, termasuk konsert penyanyi Aya Nakamura di Stade de France, persembahan rapper Damso di Arena La Defense serta kejohanan Terbuka Perancis  yang sedang berlangsung.

Polis berkata, sebuah kedai roti dan restoran berhampiran Parc des Princes mengalami kerosakan. Walaupun puluhan ribu penyokong menyaksikan perlawanan di dalam stadium, antara 4,000 hingga 5,000 orang berkumpul di luar dan membaling objek ke arah anggota polis.

Kira-kira 150 individu cuba memasuki stadium melalui salah satu pintu masuk, namun berjaya dihalang polis, menurut jurucakap polis.

Ada juga yang cuba membina sekatan jalan menggunakan basikal sewa, tetapi ia kemudian ‘dipatahkan’ oleh polis.

Seorang wartawan AFP di lokasi melaporkan berlaku pertempuran antara polis dan penyokong berhampiran stadium, dengan polis melepaskan gas pemedih mata selepas bunga api dibaling ke arah mereka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN