Dua beradik tidak miliki sijil lahir

Dua beradik tiada sijil lahir

SITI Zulaikha Asyikin Adam (kanan) dan Suheri Mat Noor (kiri) bersama Siti Nur Ain Nabila (tiga dari kiri) Hanis Suhada (dua dari kiri) dan Raif Rayyan di Kampung Cawat, Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Dua daripada empat anak pasangan suami isteri yang menetap di Kampung Cawat dekat sini, tidak mempunyai sijil kelahiran berikutan kedaifan hidup.

Dua anak pasangan Siti Zulaikha Asyikin Adam, 33, dan suaminya, Suheri Mat Noor, 41, iaitu Hanis Suhada, 7, serta Raif Rayyan yang berusia 11 bulan tidak memiliki sijil lahir kerana kesukaran menguruskan permohonan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), di sini sebelum ini.

Siti Zulaikha Asyikin berkata, Hanis Suhada yang sepatutnya belajar di tahun satu tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak seusianya kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila tiada sijil lahir, dua anak saya juga sukar mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan urusan-urusan lain.

“Sebelum ini saya pernah ke JPN tetapi atas faktor kesempitan hidup, saya tidak dapat meneruskan proses memohon sijil lahir dua beradik itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Cawat di sini, semalam.

Katanya, situasi sama turut berlaku terhadap anak bongsunya yang kini berusia 11 bulan.

Bagaimanapun, Siti Zulaikha Asyikin memberitahu, anak sulungnya, Siti Nur Ain Nabila, 15, dan anak keduanya, Mohd. Adam Mukhris, 12, memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Katanya, kedua-dua anaknya itu juga dapat bersekolah seperti biasa.

Namun, jelasnya, kesempitan hidup dihadapi keluarganya menyebabkan Siti Nur Ain Nabila terpaksa berhenti belajar selepas tingkatan dua.

“Muhammad Adam Mukhris masih belajar di sebuah pusat tahfiz di Kelantan. Saya hanya bekerja di kilang keropok dan menerima upah kira-kira RM30 sehari manakala suami pula be­kerja sebagai buruh dengan upah RM60 sehari menyebabkan Siti Nur Ain Nabila tidak dapat meneruskan persekolahan,” ujar­nya.

Selain itu, Siti Zulaikha Asyikin berkata, sejak empat bulan lalu keluarganya terpaksa keluar dari rumah sewa lama ke­rana tidak mampu menjelaskan sewa sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, pada masa ini, keluarganya terpaksa tinggal di rumah sewa yang uzur berharga RM100 sebulan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini