PERKAHWINAN atau pernikahan bermaksud mengumpulkan dua manusia dan menyatukannya di antara satu sama lain. Orang Arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad, juga dengan makna persetubuhan serta berseronok-seronok.
Walaupun begitu makna hakiki bagi kalimah nikah ialah akad dan makna secara simboliknya (majaz) ialah persetubuhan. Al-Quran secara umumnya menggunakan perkataan nikah dengan makna akad dan bukannya persetubuhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang Yang beriman, apabila kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan Yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah Yang kamu boleh hitungkan masanya. oleh itu, berilah Mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka Dengan cara Yang sebaik-baiknya. (al-Ahzab: 49)
Banyak dalil menggalakkan keutamaan berkahwin dengan hikmah yang sangat luas. Antaranya, firman Allah SWT bermaksud: Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir. (al-Rum: 21)
Kajian saya mendapati cabaran luaran dapat dilihat daripada persepsi penerimaan masyarakat Islam melalui perkahwinan.
Mereka mempertikaikan tujuan saudara baharu memeluk Islam. Andaian yang biasa adalah saudara baharu memeluk Islam atas faktor perkahwinan. Ini membuatkan saudara baharu berasa sedih dan kecewa. Berikut antara cabaran perkahwinan saudara baharu:
i. Campur tangan keluarga
Kes ini melibatkan wanita berusia 37 tahun yang memeluk Islam lima tahun lalu.
Beliau berkahwin dengan lelaki Melayu berstatus duda.
Bagaimanapun, pernikahan itu tidak direstui ibu mentua kerana meletakkan beliau sebagai punca anaknya berpisah dengan isteri pertama. Dia terpaksa memendam perasaan walaupun perkahwinan itu berlangsung lama selepas suaminya bercerai.
“Setiap kali pulang ke rumah orang tua suami, adik-adik ipar sering berbual sesama mereka mengata saya. Topik bualan itu memang menyakitkan dan kadang-kadang memberi tekanan kepada saya. Saya hanya mampu berdoa semoga hati ibu mentua dan keluarga sebelah suami terbuka menerima saya sebagai menantu serta sebahagian daripada keluarga mereka,” kata Salina (nama samaran) mengakhiri perbualan.
ii. Kurang Bimbingan Agama Dari Pasangan
Ramai juga saudara-saudara baharu wanita menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan cara hidup baharu selepas bercerai dengan tanggungan anak di sisi mereka. Apabila melihat keadaan ini, saya amat kagum dengan seorang saudara baharu wanita, Royong Edden mengurus masa demi mencapai kehidupan yang seimbang dengan ilmu pengetahuan mengenai Islam yang belum lagi teguh dalam diri.
Namun, katanya, kehidupan kini lebih baik berbanding kehidupan beliau di alam perkahwinan, sebelum bergelar ibu tunggal. Suami tidak mengajar sembahyang dan jauh sekali mengajar beliau mengenai cara hidup Islam.
Beliau yang sudah bertahun-tahun bergelar Muslim, tetapi tidak tahu mengaji. Namun selepas berpisah, beliau terpanggil untuk mendalami Islam bagi memperbaiki kehidupannya.
iii. Ketidakstabilan Emosi dan Psikologi
Saudara baharu wanita juga perlu memahami adalah penting untuk menguruskan emosi dan memahami psikologi diri masing-masing dengan baik. Persediaan memahami psikologi rumah tangga juga amat penting.
Berdasarkan pengalaman saya yang pernah mengikuti kursus pra-perkahwinan dan pasca-perkahwinan, kursus pasca-perkahwinan adalah lebih bermanfaat.
Kursus pra-perkahwinan kebanyakan membahaskan soal hukum-hakam yang membosankan. Maka kebanyakan speaker menokok tambah elemen jenaka yang penuh dengan nilai-nilai lagha.
Tetapi bagi kursus pasca-perkahwinan, suasananya lebih tenang tetapi serius, membicarakan soal menguruskan konflik rumah tangga dan memahami psikologi suami isteri. Pengkaji lebih kagum dan tertarik dengan konsep kursus pasca-perkahwinan kerana ia lebih praktikal, mudah diingat dan mempunyai impak berpanjangan.
Mungkin barangkali nilai ilmu psikologi rumah tangga perlu digarapkan bersama ke dalam kursus pra-perkahwinan untuk memastikan para bakal suami isteri bersedia dengan ilmu yang lebih praktikal dan meningkatkan kadar kebahagiaan rumah tangga lantas mengurangkan kes perceraian.
Selain itu, banyak juga persediaan ilmu ini melalui pembacaan kendiri. Banyak buku-buku yang berkualiti yang boleh dicari dalam pasaran seperti: Man from Mars, Woman from Venus, The Five Love Language, Things I wish I’d Known before We Got Marriage, Hold Me tight dan lain-lain buku bacaan, mungkin juga berunsur agama.
iv. Ilmu dan Iman Yang Rapuh
Keteguhan iman akan menentukan sama ada hidup selepas pernikahan akan selari dengan sebab pernikahan atau tidak. Banyak cabaran, dugaan dan ujian yang datang selepas pernikahan terutamanya dalam kalangan saudara baharu wanita.
Jika tidak dihadapi dengan sewajarnya, cabaran, dugaan dan ujian, ramai akan tewas. Akhirnya menjadikan hidup selepas kahwin jauh berbeza atau lari dari matlamat asal pengislaman mereka.
Ini berlaku kepada saudara baharu yang memeluk Islam atas sebab ingin berkahwin. Kesilapan apabila beliau menyangka bahawa hidup selepas perkahwinan bagi kalangan saudara baharu wanita yang berkahwin dengan lelaki Melayu Islam akan meneguhkan keimanannya.
Sebabnya, dia menganggap suami berbangsa Melayu sudah tentu dapat membimbing isteri mualaf dalam selok-belok agama Islam. Padahal yang berlaku adalah sebaliknya. Dia diabaikan, diceraikan oleh suami dan hidup terumbang-ambing tanpa bantuan dan bimbingan saudara seIslam.
v. Faktor Kewangan
Faktor kewangan yang sering menjadi isu dalam kes penceraian. Masalah ini berlaku akibat tidak sekufu. Apabila isteri mempunyai pangkat dan pendapatan yang lebih berbanding suami, isteri akan merasakan dirinya lebih tinggi daripada suami dan menimbulkan perasaan bongkak sehinggakan isteri tidak lagi patuh dan taat dengan perintah suami.
Perasaan hormat terhadap suami semakin hilang dipengaruhi oleh sifat ego. Perkara ini tidak patut berlaku kerana suami adalah ketua keluarga. Isteri seharusnya membantu dan bertolak ansur dengan suami berkaitan dengan masalah kewangan bukannya dengan mendesak serta merendahkannya. Perkara seperti ini sering berlaku kepada setiap pasangan yang berumahtangga, tidak kira sam ada saudara baharu mahupun tidak.
Selain itu, bagi pasangan saudara baharu yang mengalami masalah kewangan, kebiasaannya bagi mualaf lelaki, mereka akan kembali kepada tabiat lama yang menyalahi ajaran Islam seperti mencuri, berjudi dan melakukan pekerjaan yang haram. Akibatnya berlaku pergaduhan antara pasangan yang akhirnya akan diakhiri dengan perceraian. – UTUSAN
PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.










