KUALA TERENGGANU: Musim cuaca panas yang melanda negara ketika ini melegakan seorang warga emas yang mencari rezeki dengan menghasilkan daun tikar mengkuang.
Ini kerana cuaca panas dapat mempercepatkan proses pengeringan daun mengkuang yang dijemurnya sebelum dijual kepada pengusaha kraftangan dan anyaman di sekitar Kuala Terengganu.
Simek Mamat, 65 berkata, dia mempelajari kemahiran tersebut turun temurun dari datuk dan neneknya yang menjadikan daun mengkuang sebagai sumber pendapatan mereka satu ketika dahulu.
“Penghasilan tikar mengkuang ini agak rumit kerana daun mengkuang yang telah siap dikeringkan mesti berkualiti kerana ia mempengaruhi proses anyaman.
“Ia dimulakan dengan pengambilan daun mengkuang yang sudah matang di sekitar kampung ini kemudiannya dipotong mengikut saiz panjang yang sama.
“Daun mengkuang ini akan dilayur sebentar agar ia lebih tahan lama dan tidak mudah patah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kedai Buluh di sini semalam.
Warga emas yang mempunyai dua orang anak itu berkata, dia menjual daun mengkuang yang telah siap dikeringkan dengan harga RM25 satu kilogram kepada pengusaha kraftangan di sekitar Chendering.
Menurut Simek, proses seterusnya ialah membuang duri dan bahagian tengah (empulur) daun mengkuang tersebut.
“Ia kemudiannya diikat sebelum direndam selama dua hingga tiga hari untuk melunturkan warna hijau dan airnya perlu ditukar untuk mengelak bau masam.
“Setelah warnanya luntur, barulah daun mengkuang ini akan dijemur sehingga kering. Kebetulan cuaca memang panas sekarang dapat mempercepatkan prosesnya berbanding tengkujuh pada akhir tahun,” katanya.
Selain menjual daun mengkuang, Simek juga berkemahiran membuat anyaman tikar dan sering menjualnya kepada para peniaga di Pasar Kedai Payang, di sini. – UTUSAN










