IPOH: Minat mendalam terhadap dunia ketenteraan selain terinspirasi dengan kewibawaan datuk sebagai anggota polis mendorong Amirul Akif Mohd. Salleh, 22, untuk menyertai pasukan beruniform.
Meskipun sedar bukan sedikit ujian yang perlu diharungi, anak kepada pasangan Mohd. Salleh Mohamad dan Rosyati Mahat itu tidak gentar malah bersedia menyahut cabaran apabila menyertai latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Usaha keras dan disiplin ketat selama enam bulan sepanjang latihan akhirnya berbaloi apabila anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu muncul sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan Siri 67/2023.
Menurut Amirul Akif, selain menjadikan datuknya sebagai idola, minatnya dalam pasukan beruniform mendapat galakan daripada sepupu yang turut menyertai TUDM.
Katanya, dia meletakkan dua individu itu sebagai contoh untuk berusaha gigih bagi meraih cita-cita sebagai anggota tentera.
“Datuk saya seorang anggota polis dengan pangkat terakhirnya ialah koperal. Jadi, minat dalam pasukan beruniform dipupuk sejak kecil dengan menjadikannya sebagai idola.
“Saya cuba ikut kerjaya datuk dalam bidang kepolisan, namun rezeki lebih ke arah ketenteraan. Bila rujuk kepada sepupu, dia beri pendapat dan sokongan yang positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan yang disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan di Akademi Tentera Udara di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 443 perajurit muda termasuk 60 anggota wanita selesai menjalani tiga fasa latihan selama enam bulan bermula 14 November lalu membabitkan tiga fasa iaitu asas ketenteraan, akademik dan pembentukan sahsiah diri.
Menurut pemegang Diploma Kepolisian dan Penyiasatan dari Kolej Unikop, dia bersyukur dan gembira terpilih sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan dan menyifatkan ia sebagai hadiah untuk ibu bapa.
Katanya, sokongan dan doa ibu bapa juga membantunya mengharungi latihan berintensiti tinggi yang menguji keupayaan fizikal dan mental.
“Macam-macam yang saya tempuh dengan ujian yang agak keras namun berkat doa ibu bapa, saya berjaya harunginya,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya Mohd. Asghar Khan berkata, kesemua perajurit muda udara diingatkan agar memegang teguh etika ketenteraan dan menjaga imej serta nama baik perkhidmatan.
Katanya, penekanan kepada pematuhan undang-undang dan peraturan dititikberatkan bagi memastikan warga TUDM tidak terlibat dalam perbuatan salah laku disiplin, jenayah dan integriti.
“TUDM tidak akan sesekali berkompromi dengan anggota yang terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah mahupun melanggar disiplin perkhidmatan.
“Sentiasalah membudayakan integriti dalam kehidupan agar ia menjadi benteng daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri, agama, organisasi dan negara,” ujar beliau. – UTUSAN










