CUEPACS yakin kerajaan negeri ikut laksana kenaikan gaji penjawat awam - Utusan Malaysia

CUEPACS yakin kerajaan negeri ikut laksana kenaikan gaji penjawat awam

ADNAN Mat membantu menyediakan keropok lekor pada Majlis Santunan Budi Aidil Fitri Madani CUEPACS Terengganu 2024 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) percaya semua kerajaan negeri akan mengambil ketetapan menaikkan gaji penjawat awam negeri lebih daripada 13 peratus selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 1 Mei lalu.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, berdasarkan rekod-rekod kenaikan gaji dan bonus sebelum ini, didapati tiada negeri menolak pengumuman di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, beberapa negeri didapati masih menunggu perincian kenaikan gaji yang akan dimuktamadkan Kerajaan Persekutuan selepas ini.

Namun, katanya, beberapa negeri lagi didapati telah menyatakan kesediaan untuk mengikuti kenaikan gaji yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

“Bagi negeri-negeri ni sebahagiannya telah menyambut baik, sebahagiannya lagi belum memberi pandangan tetapi CUEPACS yakin dan percaya semua negeri satu pandangan sahaja dan menerima baik sistem saraan penjawat awam yang baharu demi kebaikan pekerja-pekerja mereka.

“Jadi ini bukan satu masalah dan yakin setiap negeri tetap dengan satu sistem saraan seluruh anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar
dalam Majlis Santunan Budi Aidil Fitri Madani CUEPACS Terengganu 2024 di sini, hari ini.

Pada 8 Mei lalu Utusan Malaysia melaporkan
kerajaan Terengganu menunggu perincian kenaikan gaji daripada Kerajaan Persekutuan sebelum mengumumkan pelarasan gaji membabitkan kakitangan awam negeri itu.

Perdana Menteri pada 1 Mei telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Selain itu, Adnan memberitahu, CUEPACS mengharapkan Kerajaan Persekutuan juga dapat menaikkan kadar pencen bagi
anggota perkhidmatan awam yang telah bersara selaras dengan kenaikan gaji tersebut.

“Jika ada kenaikan gaji pada anggota perkhidmatan awam dan kita nak ianya juga dipanjangkan kepada kenaikan pencen bagi anggota perkhidmatan awam yang telah bersara.

“Cuma mungkin kadar tidak sama tetapi tetap berada dalam pelarasan pencen apabila ada kenaikkan gaji. Itu adalah dasar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN