PHUKET: Pemain industri di Perlis khususnya perlu mencontohi inisiatif penyediaan hospitaliti seperti sektor pelancongan di Thailand yang dilihat berupaya menarik pengunjung luar ke negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aspek seperti penginapan, makanan, minuman, tempat menarik, promosi, perkhidmatan mesra pelanggan, kebersihan dan beberapa lagi merupakan elemen penting yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Titah baginda, semua aspek tersebut merupakan elemen penting buat para pelancong sebelum memilih destinasi percutian mereka masing-masing.
“Pemain-pemain industri di Perlis perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk menambah baik dan menyediakan hospitaliti setaraf,” titah baginda selepas berkenan melancarkan promosi masakan kurma daging Perlis di Pa Tong di sini.
Masakan kurma daging sememangnya sinonim dan merupakan salah satu masakan Perlis yang bakal disajikan kepada pengunjung khususnya pelancong untuk dimakan bersama nasi atau roti.
Pelancaran Masakan Kurma Daging Perlis pada Promosi Masakan Perlis kali ini merupakan anjuran pihak restoran dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Miza Kampung Gial Perlis.
Untuk rekod, Promosi Masakan Perlis pernah dirasmikan oleh baginda di dua lokasi lain di Phuket sebelum ini iaitu pada 2016 di The Royal Paradise Hotel dan 2022 di Grand Mercure Hotel.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, terdapat beberapa elemen lain boleh dilaksanakan oleh pemain industri pelancongan di negeri ini berbanding negara jiran khususnya dalam aspek sumber manusia.
“Langkah-langkah tersebut juga secara tidak langsung mampu merancakkan lagi kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 yang sedang berlangsung,” titah baginda. – UTUSAN










