KUALA LUMPUR: Menganggap persaraan sebagai bukan satu pilihan, Datuk Yusof Haslam enggan meletakkan dirinya dalam kelompok warga emas, sebaliknya menganggap dirinya masih muda untuk terus aktif menghasilkan filem-filem berkualiti di Malaysia.
Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Aslam Khan, 72, berkata, pada usia sebegini, kebanyakan rakan sekolahnya sudah lama berpencen dan sekadar menghabiskan masa dengan berkumpul di kedai kopi.
Menurutnya, beliau memilih jalan berbeza kerana mahu terus aktif bekerja memandangkan beliau sangat mencintai bidang perfileman dan mahu terus memberikan sokongan kepada karya anak-anaknya.
“Saya tidak menganggap umur saya 72 tahun itu sebagai satu risiko tetapi saya menganggap risiko tersebut seperti berumur 50 tahun untuk meneruskan perjuangan ini. Saya tidak mahu jadi seperti rakan-rakan sekolah lain yang sudah pencen dan hanya duduk menghabiskan masa di kedai kopi.
“Sebenarnya saya sangat menikmati perkara ini sebab saya amat cintakan bidang seni. Nasib baiklah Tuhan memberikan saya tenaga untuk terus berjuang demi anak-anak,” katanya.
Yusuf Haslam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Gerak Khas 2.0 di ibu negara, pada Selasa.
Yusuf berkata, beliau ada mengajak anak-anaknya, Syamsul dan Syafiq Yusof untuk membahagikan tugas penerbitan filem dan drama di bawah syarikat mereka, Skop Productions.
“Saya dan Syafiq saling menyokong antara satu sama lain, tetapi saya meminta dia membuat keputusan sendiri kerana bapa mereka ini sudah penat. Dia tidak boleh fokus banyak benda kerana mahu tumpukan pada filemnya sahaja supaya idea tidak habis.
“Jadi, saya mengajak mereka untuk membuat filem dan biar saya fokus membuat drama pula. Apabila emaknya sudah meluluskan program utama, maka mereka boleh fokus kepada pembikinan filem tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof turut memanjatkan rasa syukur kerana syarikat produksi miliknya, Skop Productions Sdn. Bhd. mampu bertahan kukuh buat tempoh yang sangat lama.
Beliau menyifatkan kejayaan itu bukanlah hujah untuk mendabik dada, sebaliknya ia adalah hasil kesetiaan penonton yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Dengan izin Allah SWT, syarikat saya mampu bertahan sehingga 41 tahun dan semua ini berlaku dengan izin-Nya. Perkara ini terjadi bukan disebabkan saya atau anak-anak saya hebat, tetapi semuanya kerana sokongan daripada penonton, Alhamdulillah,” katanya.
Untuk rekod, Skop Productions yang diasaskan oleh Yusof Haslam merupakan antara syarikat penerbitan gergasi paling berjaya di Malaysia yang menghasilkan siri fenomena seperti Gerak Khas serta filem-filem pecah panggung negara.
Bapa kepada pengarah Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof ini juga terkenal dengan gelaran ‘Six Million Dollar Man’ selepas filem arahannya, Sembilu 2 mencatatkan kutipan luar biasa pada tahun 1995.










