GERIK: Seramai 39 pemandu dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sejak 1 Julai lalu.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu diperoleh hasil saringan ke atas 153 pemandu dengan majoriti pemandu yang didapati positif adalah membabitkan kenderaan barangan.
Katanya, daripada 39 pemandu yang positif dadah itu, 18 orang dikesan mengambil ketum diikuti 16 methamphetamine, tiga morfin dan dua ganja.
“Daripada 39 pemandu berkenaan, 38 orang adalah pemandu kenderaan barangan manakala seorang lagi merupakan pemandu kenderaan perkhidmatan awam.
“Dalam operasi sama, kita turut menahan 14 Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 13 Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Tiada tindakan diambil terhadap Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV),” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu yang didapati positif dadah akan dikenakan tindakan termasuk penahanan lesen GDL dan PSV sehingga siasatan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selesai dan penggantungan lesen selama tiga bulan.
Katanya, sekiranya pemandu disabitkan kesalahan atau ditempatkan di pusat pemulihan, lesen vokasional mereka akan digantung mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Selain tindakan terhadap pemandu, JPJ Perak juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandunya mematuhi syarat pelesenan dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Audit ke atas syarikat berkaitan juga akan dilaksanakan sekiranya perlu bagi memastikan tahap pematuhan terhadap keperluan keselamatan dan pengurusan pemandu sentiasa dipatuhi,” katanya.
Tambah beliau, JPJ Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau syarikat pengangkutan yang mengabaikan aspek keselamatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten dan bebas pengaruh dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan,” katanya. – UTUSAN










