Negara Arab, Teluk kutuk serangan terbaharu Iran

Negara Arab, Teluk kutuk serangan terbaharu Iran

IRAN menyasarkan 'pangkalan musuh' di Teluk susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Sirik dan Pulau Qeshm.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kuwait mengutuk serangan terbaharu Iran dengan menyifatkan tindakan ketenteraan itu sebagai kesinambungan ‘pencerobohan yang berani’ ketika usaha serantau dan antarabangsa sedang giat dijalankan untuk meredakan ketegangan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Kuwait menegaskan keselamatan negara, kedaulatan serta keselamatan rakyat dan penduduknya adalah ‘garis merah yang tidak boleh dilanggar’.

Sementara itu, Jordan turut mengecam serangan kejam Iran terhadap Kuwait, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara itu, ancaman kepada keselamatan dan kestabilannya serta keselamatan wilayahnya.

Jordan turut menyifatkan tindakan itu sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya dan pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mesir juga mengutuk serangan berulang Iran terhadap Kuwait, Bahrain dan beberapa negara Teluk lain. Kaherah menyifatkan tindakan Teheran sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan negara-negara terbabit, ancaman serius kepada keselamatan dan kestabilan Teluk, serta tindakan yang tidak boleh diterima kerana berpotensi memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan.

“Mesir menegaskan penolakan sepenuhnya terhadap sebarang tindakan yang mencabuli keselamatan dan kedaulatan negara-negara sahabat atau mengancam keselamatan serta kestabilan rantau ini,” menurut Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.

Kementerian itu turut mengulangi gesaan supaya semua pihak menahan diri dan mengambil langkah meredakan ketegangan bagi memelihara keselamatan serantau serta menjamin keamanan dan kestabilan.

Sementara itu, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa melancarkan operasi bersama menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait serta beberapa lagi lokasi utama tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan tentera AS di Iran.

Terdahulu, AS melancarkan gelombang serangan udara ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal-kapal tangki di Selat Hormuz.

Penasihat diplomatik Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash, berkata serangan Iran terhadap kapal-kapal tangki komersial Qatar dan Arab Saudi di Selat Hormuz, selain serangan berulang terhadap Bahrain dan Kuwait, menunjukkan Teheran masih gagal memenuhi tuntutan untuk meredakan ketegangan dan menamatkan konflik.

“Negara-negara Arab Teluk tidak boleh terus menjadi sasaran ketika Iran terus berubah-ubah antara pendekatan meningkatkan ketegangan dan laluan ke arah rasional, kestabilan serta keamanan,” kata Gargash menerusi hantaran di media sosial.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN