PADANG BESAR: Meskipun Maryam Zaheerah Abdullah,18, tidak seperti pelajar-pelajar lain, kekurangan tersebut tidak menghalang remaja berkenaan meraih keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelmarin.
Maryam Zaheerah yang merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) mengalami masalah penglihatan tidak pernah mengalah dan terus berusaha gigih yang akhirnya kesungguhan tersebut berjaya membuahkan hasil meskipun ayahnya juga mengalami masalah kesihatan apabila lumpuh sejak dia kecil.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah itu meraih keputusan 4A dan 4A- dalam peperiksaan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Maryam Zaheerah berkata, dia sememangnya tidak menyangka memperoleh pencapaian cemerlang itu memandangkan keputusan sewaktu peperiksaan percubaan sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.
“Semasa peperiksaan percubaan lalu, saya hanya mendapat keputusan 3A dan sudah semestinya pencapaian yang diraih ini amat mengejut dan membanggakan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sena Dalam, Titi Tinggi, di sini, semalam.
Tambah Maryam Zaheerah, sebelum peperiksaan, dia sememangnya turut diuji apabila terpaksa menerima rawatan di hospital ekoran masalah kesihatan mental.
Menurut anak bongsu dari lima beradik ini, dia berdepan masalah kesihatan mental berikutan terlalu berfikir secara berlebihan bagi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Saya sendiri meletakkan tekanan itu walaupun tiada sesiapa mendesak untuk saya mendapat keputusan cemerlang berkenaan.
“Alhamdulillah, selepas melalui beberapa ujian sebelum ini, saya berjaya juga mencapai keputusan cemerlang walaupun pada peringkat awal terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan mental disebabkan terlalu berfikir secara berlebihan,” katanya.
Dalam pada itu, Maryam Zaheerah berkata, dia mengalami kecacatan pada mata kiri ekoran kornea mengecil sejak lahir dan disebabkan itu dia berdepan beberapa cabaran antaranya untuk menulis.
Berikutan itu, pelajar aliran Sains Sosial itu juga turut memohon kepada Jabatan Pendidikan negeri untuk melanjutkan tempoh bagi menjawab peperiksaan SPM sebelum ini disebabkan oleh permasalahan tersebut.
“Tempoh lanjutan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan untuk menjawab peperiksaan juga adalah antara setengah jam ke satu jam setengah bergantung kepada mata pelajaran yang diduduki,” katanya.
Selain itu, Maryam Zaheerah berkata, dia kerap mengulangkaji pada awal pagi bagi memudahkannya memahami dan menghafal setiap mata pelajaran.
Tambahnya, dia juga mempunyai perancangan bagi melanjutkan pelajaran di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang maritim dan perkapalan selepas ini berikutan minat yang sangat mendalam. – UTUSAN










