Buruh binaan didakwa tunjuk `anu' kepada remaja 14 tahun dalam lif

Buruh binaan didakwa tunjuk `anu’ kepada remaja 14 tahun dalam lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga India mengaku tidak bersalah  di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada remaja perempuan berusia 14 tahun dalam lif, dua minggu lalu.

Sewa Singh, 26, meminta dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Sewa didakwa menghina kesopanan dengan menunjukkan kemaluan kepada remaja itu di lif tingkat satu sebuah pangsapuri di sini, pukul 12 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

“Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis, serahan pasport dan tidak ganggu mangsa kes tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Tarlochan Singh memohon jaminan serendah RM2,500 kepada anak guam.

“Tertuduh bekerja secara sah dan sudah tinggal di Malaysia selama empat tahun, selain majikannya akan menjadi penjamin untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah,” katanya.

Norshila kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan pada 12 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×