PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan hukuman mati terhadap bekas ahli perniagaan, Shahril Jaafar kerana membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita berhampiran Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, 18 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak permohonan semakan banduan akhir itu yang juga anak seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Mahkamah berpendapat, fakta kes yang membawa kepada kematian mangsa adalah luar biasa kerana turut melibatkan kejadian rogol dan liwat yang dilakukan pada waktu siang di kawasan kunjungan orang ramai yang sepatutnya merupakan tempat selamat.
“Kami mengulangi, meskipun mahkamah mempunyai belas kasihan terhadap pemohon, panel ini berpandangan fakta kes adalah luar biasa kerana melibatkan keganasan yang menimbulkan kekecohan umum.
“Mahkamah tidak terikat dengan pandangan umum, bagaimanapun kami tidak boleh mengendahkannya, oleh itu permohonan ini ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” ujar Hakim Harmindar ketika membacakan keputusan ringkasnya.
Pada 9 Ogos 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahril selepas didapati bersalah membunuh Gaik Yap, 25, di Taman Ria Jaya, berhampiran Kelab Cinta Sayang Sungai Petani antara 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi, keesokannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar membantah permohonan itu atas alasan fakta yang dikemukakan oleh pendakwaan menepati prinsip `kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
Hujah beliau, kes tersebut luar biasa dan perlu dibezakan daripada kes-kes bunuh yang lain kerana kejadian melibatkan keganasan terhadap mangsa yang sedang berjogging di tempat umum.
`Gadis itu sedang berjogging bersama adiknya sebelum diculik, diliwat, dirogol dan dibunuh serta mayatnya ditinggalkan. Pemohon pula melarikan diri ke Australia selama tiga tahun sebelum ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” hujahnya.
Menurut Mohd. Dusuki, pembunuhan itu dilakukan secara kejam apabila laporan forensik menunjukkan terhadap 50 kecederaan pada mangsa termasuk pada kemaluan dan dubur.
Hujah beliau, penemuan kesan krim rambut pada kemaluan dan dubur yang digunakan sebagai pelincir, menolak pembelaan pemohon yang mendakwa perlakuan seks dilakukan secara sukarela.
Mohd. Dusuki turut mempertimbang bahawa mangsa yang merupakan harapan keluarga, baru sahaja bekerja dan sepatutnya ke Jerman untuk menjalani sesi latihan.
“Mangsa diperlakukan seolah-olah tiada kehormatan dan harga diri langsung, kes ini menepati prinsip `kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ dan mewajarkan hukuman mati dikekalkan,” hujah beliau.
Sementara itu, peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Shahril berhujah agar mahkamah mempertimbang bahawa anak guamnya sedang menjalani rawatan psikiatri hasil laporan doktor pakar dan afidavit yang difailkan pemohon.
Peguam itu berhujah, Shahril yang ketika kejadian berusia 25 tahun, kini insaf dan berhasrat pulang ke pangkuan keluarga dan menjalani kehidupan secara normal.
“Apakah kes ini yang mendapat liputan meluas dan membangkitkan kemarahan komuniti mewajarkan hukuman mati dikekalkan?” hujah peguam. – UTUSAN










