SEREMBAN: Biarpun tidak berpelajaran tinggi, namun seorang anak muda berusia 22 tahun dari Senawang di sini tetap mengimpikan untuk berjaya atas usahanya dirinya sendiri.
Ibrahim Parmadi, berkata, walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan, dia yakin hasil usaha keras pastinya akan membuahkan hasil.
Justeru, dia nekad meneroka peluang perniagaan minyak wangi dan kini memiliki jenama sendiri, Im Perfume HQ.
“Saya akui tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan malah saya juga hanya sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ambil pula jurusan masakan. Memang jauh daripada bidang perniagaan berasaskan minyak wangi yang saya usahakan kini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.
Menurutnya, walaupun perjalanan perniagaannya itu masih jauh, dia melihat perniagaan minyak wangi berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, apa yang diimpikan, hasil titik peluh dan sokongan diterima daripada keluarga membuahkan hasil, mampu mencapai jualan tertinggi sebanyak RM50,000,” katanya.
Menurutnya, setiap botol minyak wangi jualannya itu direka secara eksklusif sebagai tarikan kepada pembeli.
“Kesemua 26 jenis wangian dijual pada harga RM35 untuk size 30 mililiter dan dipasarkan menerusi media sosial,” katanya yang turut merancang untuk mengeluarkan lebih banyak jenis wangian pada masa akan datang. – UTUSAN










