PETALING JAYA: Kerajaan perlu membenarkan pekerja bergaji di bawah RM5,000 sebulan menggunakan caruman daripada Akaun 2 dan 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Perikatan Nasional (PN) kekal konsisten memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar bagi membantu rakyat yang memerlukan khususnya golongan rentan.
Menurutnya, langkah itu perlu diambil susulan penstrukturan penstrukturan semula akaun KWSP dibuat kerajaan.
“Jika kiraan berdasarkan gaji RM5,000 sebulan, kira-kira RM300 sebulan daripada caruman Akaun 2 dan Akaun 3 dapat digunakan sebagai tambahan untuk menampung keperluan hidup bagi membiayai kos barangan keperluan asas harian rakyat.
“Seandainya hanya caruman daripada Akaun 3 dibenarkan digunakan, jumlahnya terlalu kecil dan tidak memadai.
“Pada masa sama, dividen yang diberikan kepada Akaun 3 ini mestilah sama seperti Akaun 1 dan Akaun 2 supaya adanya inisiatif kepada rakyat untuk terus menyimpan di dalam KWSP,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dalam keadaan ekonomi negara lemah, harga barangan melambung tinggi, nilai ringgit berterusan menjunam, banyak cukai ke atas rakyat diperkenalkan, bil utiliti dinaikkan kerajaan serta ketika rasionalisasi subsidi dikuatkuasakan, polisi penstrukturan semula akaun KWSP itu tidak cukup untuk membantu rakyat.
“Ini kerana bukan semua rakyat dapat menikmati kemudahan Akaun 3 ini kerana hampir separuh pekerja di Malaysia tidak mempunyai akaun di KWSP terutamanya mereka yang berpendapatan rendah ataupun yang bekerja di sektor tidak formal.
“Kerajaan Madani harus mengambil tanggungjawab dengan walk the talk (melaksanakan apa yang diperkatakan),” katanya. – UTUSAN










