GERIK: Penderitaan seorang remaja perempuan yang disyaki menjadi ‘hamba seks’ bapa kandung sejak tujuh tahun lalu berakhir apabila lelaki itu diberkas polis semalam.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada pukul 3.40 petang.
Katanya, tangkapan terhadap lelaki itu dijalankan susulan laporan polis dibuat kaunselor sekolah remaja terbabit pada pukul 12 tengah hari, hari yang sama.
“Pihak polis menerima satu laporan polis melibatkan mangsa berusia 17 tahun yang mendakwa telah diperkosa secara berulang kali oleh bapanya sejak tujuh tahun lalu.
“Laporan polis itu dibuat oleh kaunselor sekolah berusia 37 tahun setelah dia dimaklumkan tentang kejadian itu oleh mangsa ketika sesi kaunseling dijalankan bersama remaja itu pada hari sama,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dalam keterangannya memaklumkan kejadian rogol itu kali pertama berlaku pada tahun 2017 semasa dia berusia 10 tahun dan berlanjutan sehingga tahun 2020.
Katanya, mangsa pernah memberitahu ibu saudaranya berkaitan kejadian itu dan berhadapan dengan suspek, namun lelaki itu menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu dan direman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan,” katanya. – UTUSAN










