PETALING JAYA: Bakal jemaah haji Wilayah Persekutuan bakal menerima sumbangan wang tunai RM500 yang bertujuan membantu mereka melakukan persiapan bagi mengerjakan ibadah tersebut di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan RM1.102 juta di bawah inisiatif Ihsan@PUJI yang akan disalurkan kepada 2,204 bakal jemaah haji dari ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Kata beliau, sumbangan wang tunai tersebut akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dan kemudian akan diagihkan kepada bakal jemaah haji muassasah di wilayah masing-masing.
“Sumbangan seumpama ini merupakan kali pertama diberikan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus komited untuk memberi fokus dalam menyokong keperluan rakyat, termasuk dalam aspek keagamaan dan ibadah.
“Saya berharap agar sumbangan ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah dan didoakan semoga dikurniakan haji yang mabrur,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN










