Apa jasa DAP pada UMNO? - Annuar Musa

Apa jasa DAP pada UMNO? – Annuar Musa

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong calon DAP dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu bagi membalas jasa DAP.

Annuar yang kini Timbalan Pengarah Pilihanraya Pas Pusat berkata,  ia adalah satu kenyataan yang dangkal politik.

Beliau yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2022 sebaliknya mempersoalkan apakah jasa DAP kepada UMNO sehingga kenyataan sedemikian boleh dikeluarkan.

“Pada PRK Kuala Kubu Bharu, UMNO disuruh undi DAP kerana nak membalas jasa DAP. Apa jasa DAP kepada UMNO?

“Budak yang baru pakai kain lampin pun boleh menilai ayat apa ini. Takkanlah begitu dangkal politik.

“DAP angkat UMNO beri jawatan Timbalan Perdana Menteri. UMNO yang selama-lamanya jadi Perdana Menteri tapi apabila sampai PRU15, sekarang UMNO menerima realiti dia bukan lagi Perdana Menteri, dia hanya penolong Perdana Menteri, jawatan Perdana Menteri sudah jadi hak orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Mega Isu Perdana di sini semalam.

Annuar yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh sebelum dipecat daripada UMNO berkata, parti itu kini ibarat ‘kayu’ yang dipergunakan untuk menumbangkan ‘kayu-kayu’ lain iaitu parti-parti Melayu seperti Pas dan Bersatu.

“UMNO digunakan untuk menumbangkan Pas dan Bersatu dan sebagainya, tumbangkan kekuatan Melayu tapi UMNO sendiri tidak dapat hendak membela kepentingan Melayu dan Islam dalam kerajaan.

“UMNO jadi kera bisu dalam kerajaan sekarang. Di mana UMNO, di mana suara UMNO, di mana peranan UMNO ketika isu surat perintah pengampunan Datuk Seri Najib (Tun Razak), (UMNO)  diam sehingga kantoi,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, komitmen dan sokongan BN kepada calon Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) bagi (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu disifatkan sebagai membalas jasa DAP.

Menurutnya, UMNO dan BN menghormati formula untuk memberikan amanat kerusi (DUN Kuala Kubu Bharu) kepada PH.

Beliau berkata, beberapa PRK sebelum ini, BN turut didokong kepemimpinan DAP, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika di Tioman, Pelangai dan kemaman. Maka ini komitmen daripada UMNO dan BN.

“Saya juga tahu DAP adalah sebuah parti yang sangat komited dalam Kerajaan Perpaduan dan sudah tiba masanya (UMNO) membalas budi mereka (DAP),” kata Ahmad Zahid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN