PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa keadaan di bumi Palestin masih tidak berubah malah terus berlaku kekejaman dan penindasan walaupun telah menyuarakan tentang nilai kemanusiaan kepada ramai pemimpin dunia.
Perdana Menteri berkata, perkembangan mutakhir di Gaza turut dibincangkan semasa lawatan terbaharunya ke Riyadh ketika menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia, namun maklumat yang diterima amat tidak meyakinkan dan menggusarkan semua.
“Sepanjang malam dan hari ini saya merasa sangat terkesan kerana seolah-olah dunia ini menghampakan, (mereka) bicara soal demokrasi, kemanusiaan dan menjadi manusia tinggi tamadunnya dengan menggapai hal-hal tak terbuka sebelumnya dari digital ke AI (kecedasan buatan).
“Tetapi maruah dan nilai masih hambar, masih tak memuliakan insan, jadi sebab itu nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, masih belum terjamin. Kita dipaparkan pembunuhan kejam yang berlaku saban hari, ana-anak kecil dan wanita seolah-olah tidak berharga.
“Dengan amanat yang saudara-saudara berikan, saya telah berusaha sedaya-upaya berdepan Presiden Joe Biden di Amerika Syarikat, Australia dan di Jerman untuk menyatakan (isu Palestin) bukan untuk memanaskan dan mempersulit hubungan dua hala, tetapi menyatakan sikap sebagai seorang manusia,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di sini hari ini.
Anwar pada masa turut kecewa tentang sikap hipokrasi atau kepura-puraan yang ditonjolkan pihak-pihak tertentu untuk menyokong satu pihak tetapi menghina satu pihak lain.
Justeru, katanya, Malaysia perlu mengambil pengajaran itu dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu merasai setiap denyut dan kesan yang dihadapi rakyat.
“Apakah kezaliman itu berlaku ke atas orang Islam, atau orang kristian atau orang hindu atau buddha. Ini namanya kezaliman dan wajib kita pertahan dan bela nasib mereka (Palestin)
“Malangnya ini bukan menjadi pandangan negara-negara terutama negara kaya barat yang boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga, tidak mendengar jeritan anak-anak kecil, wanita dan membiarkan bulan demi bulan, hari demi hari, detik demi detik.
“Jadi belajar dari pengalaman, jangan sekali-kali kita melayan sifat buruk, menghina mana-mana kaum mana-mana agama dan menafikan hak mereka,” katanya. –UTUSAN










