ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bertemu dalam Mesyuarat Khas Pembangunan di sini, petang ini.
Kedua-dua pemimpin itu tiba di Wisma Darul Aman pada pukul 5.40 petang menaiki kenderaan bersama-sama dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang itu yang turut akan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri Kedah di Jitra, malam ini.
Dalam mesyuarat khas itu, Muhammad Sanusi dijangka menyampaikan hasrat atau ‘wishlist’ kerajaan negeri untuk dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, beliau memaklumkan akan membentangkan pelan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri untuk dilaksanakan selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035).
Turut serta dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut menyertai sesi tersebut bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah. -UTUSAN










