PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin utama pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh dalam lawatan rasminya di Qatar ketika penduduk Palestin terus diserang tentera Israel.
Dalam pertemuan itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, Gaza.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia juga menggerakkan usaha lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa.
“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan dan bersetuju dengan pelan pendamaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Perdana Menteri turut berkongsikan bahawa beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada Ismail atas pemergian ahli keluarga yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.
Selain itu, beliau juga diberi taklimat terkini mengenai situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin membimbangkan.
“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis,” katanya.- UTUSAN











