PETALING JAYA: Anak kepada Menteri Besar (MB) Perlis akan didakwa di mahkamah hari ini berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.
Sumber berkata, pertuduhan ke atas anak Menteri Besar itu akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Dia (anak Menteri Besar Perlis) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini,” katanya di sini semalam.
Media pada 24 April lalu, melaporkan anak kepada MB Perlis antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Individu-individu yang berusia 27 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara dan perbekalan di seluruh Perlis sejak 2022.
Bagaimanapun, anak MB Perlis bersama empat lagi kemudian dilepaskan pada 26 April lalu dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat.
Susulan siasatan dijalankan, SPRM turut menahan MB Perlis, Mohd. Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa pada 30 April lalu.
Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berkata, mereka sudah mendapat izin mendakwa seorang pemilik syarikat dan seorang bekas setiausaha politik di dua mahkamah esok.
Pemilik syarikat itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis manakala bekas setiausaha politik akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN










