SHAH ALAM: Kira-kira 60 peratus atau 114,000 daripada 190,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah dalam kalangan B40.
Peningkatan sehingga 20 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19 itu memberi cabaran baharu kepada UiTM dalam memainkan peranan sebagai penyedia pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan bumiputera.
Perubahan latar belakang mahasiswa berkenaan dipercayai berpunca daripada keluarga mereka yang sebelum ini berada dalam kumpulan pendapatan isi rumah M40, namun hilang punca pendapatan ketika pandemik Covid-19.
Ia bukan disumbang oleh kemasukan mahasiswa baharu daripada kumpulan tersebut, sebaliknya berlaku dalam kalangan mereka yang masih lagi menuntut di kampus sekali gus menerima tekanan ekonomi.
Lebih kritikal, universiti terbesar itu berdepan cabaran bersifat paradoks untuk menetapkan semula matlamat bagi memastikan graduan mampu memberi impak kepada peningkatan ekonomi keluarga dan masyarakat setempat.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, cabaran yang dihadapi UiTM ketika ini bersifat paradoks iaitu tiada penyelesaian yang objektif dan benar-benar tepat untuk menyelesaikannya.
“Zaman sekarang paradoks, buat macam mana pun belum tentu betul. Profil mahasiswa UiTM dalam sistem kita sekarang, B40 adalah 59.9 peratus. Majoriti mahasiswa kita adalah daripada golongan B40. Pendapatan isi rumah keluarga mereka bawah RM5,000.
“Yang menjadi fenomena juga, di UiTM adalah mahasiswa T20 sebanyak 28 peratus. Yang menunjukkan terdapat orang Melayu sudah keluar daripada kemelut ekonomi, dia membesar (mempunyai anak menuntut di universiti), isunya di mana? Isunya M40.
“Dalam data kita, M40 hanya tinggal 12 peratus. Dalam analisis ringkas, sewaktu Covid-19, bila sektor swasta membuat pengurangan pekerja, banyak yang terlibat dalam kalangan orang Melayu adalah M40 yang terjejas.
“Jadi merekalah (keluarga) senior manager, assistant general manager, senior engineer kehilangan pekerjaan dan fall back akhirnya kerja apa? Dia kerja jadi pemandu e-hailing, dan mahu masuk balik workforce, tetapi fenomena yang berlaku data daripada sistem pelajar kita menunjukkan, kumpulan itu masih lagi bergelut.
“Sebab itulah mereka jatuh balik ke B40, daripada 40 peratus menjadi 60 peratus kerana mereka asalnya M40,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shahrin berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), median isi rumah di luar bandar bagi kumpulan Melayu dan bumiputera pada tahun lalu berada pada kadar enam juta yang mempunyai pendapatan isi rumah kira-kira RM4,000 ke bawah.
Sementara bagi kumpulan sama di bandar pula, median pendapatan isi rumah mereka adalah RM6,800 ke bawah, namun tetap dianggap sebagai B40 berikutan tekanan keperluan saraan di bandar seperti pembayaran tol dan petrol yang dihadapinya.
“Maknanya saya melihat mereka terhimpit dari sudut ekonomi, itu profil dari segi masyarakat orang Melayu dalam negara kita termasuk bumiputera.
“Profil itu kalau kita lihat datanya, contoh bidang perundangan, orang Melayu bumiputera yang terlibat dalam profesion itu, tak sampai 40 peratus pun.
“Justeru, peranan dan fungsi UiTM walaupun kita sudah 25 tahun menjadi universiti, 68 tahun selepas merdeka, UiTM masih lagi bergelut dalam memastikan.
Maknanya UiTM menawarkan tempat kepada Melayu dan bumiputera yang mampu dibayar dan boleh mereka datang untuk menerima pendidikan tinggi,” katanya.
UiTM kini dengan penuntutnya seramai kira-kira 190,000 orang menyumbang hampir satu perlima kepada jumlah mahasiswa yang berada dalam universiti awam dan swasta di negara ini yang berjumlah kira-kira satu juta.
Menurut beliau, kajian pengesanan graduan yang dilakukan tahun lalu menunjukkan kemasukan graduan UiTM ke alam pekerjaan berada pada tahap 60 peratus.
Sementara yang terlibat dalam keusahawanan pula adalah 4.7 peratus bersamaan dengan 2,269 graduan berbanding empat peratus (2,069 graduan) pada 2022.
Menurutnya, walaupun kemasukan graduan ke alam pekerjaan meningkat berbanding 55.9 peratus pada 2022, masih wujud kesenjangan termasuk dalam bidang-bidang profesional yang memberi cabaran kepada matlamat penubuhan UiTM.
“Cabaran baharu UiTM adalah kesenjangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera. Dengan data yang ditunjukkan tadi, T20 sekarang sudah 28 peratus, tetapi B40 semakin besar. Apa UiTM hendak buat?
“Betul, UiTM boleh jadi model, cara UiTM menanganinya. Itu yang saya katakan tadi, maknanya UiTM orang luar kata fokus Melayu sahaja, tidak. Kita tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sunway University dan macam-macam universiti antarabangsa, kita buat pertukaran mahasiswa.
“Tetapi, dalam kajian pengesanan graduan yang dibuat oleh UiTM memang betul menunjukkan jurang ada.
“Profil itu bila kita lihat datanya, contoh bidang perundangan, orang Melayu dan bumiputera yang terlibat dalam profesion itu tak sampai 40 peratus pun. Sebab itu kita patah balik kepada fakulti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran lain perlu dilalui mahasiswa dan graduan pada hari ini adalah kemampuan untuk meninggalkan pengetahuan lama yang menjadi kebiasaan dan mempelajari ilmu baharu.
“Pengetahuan adalah tentang mempelajari pengetahuan baharu dan cabaran sekarang yang disifatkan paradoks tadi, mereka perlu ada kebolehan belajar berterusan. Bukan itu sahaja, mereka kena belajar unlearn, dia kena tahu cara hendak buang ilmu lama dan masukkan ilmu baharu. Kalau tidak ia akan terikut dengan cara lama.
“Sekarang bukan tentang reskilling lagi, contohnya dia belajar di universiti cara baiki enjin petrol, bila keluar kena baiki kereta elektrik (EV). Dia tak boleh bawa (berpegang pada) ilmu enjin petrol semata-mata, kena tinggalkan ilmu itu dan belajar EV pula. Tetapi asas kejuruteraan (belajar di universiti) itu ada (kekal),” katanya. – UTUSAN











