KUALA SELANGOR: Impian 245 keluarga peneroka di lima ladang di Bestari Jaya di sini, untuk memiliki rumah sendiri sejak 26 tahun lalu tercapai apabila pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) jenis teres dijangka siap pada 2026.
Kesemua ladang itu melibatkan Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Sungai Minyak.
Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembinaan itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM75 juta termasuk RM35 juta daripadanya daripada kerajaan negeri.
Menurutnya, Berjaya Corporation memberi menyediakan tanah seluas lapan hektar di Ladang Sungai Tinggi bagi pembangunannya.
“Isu pemilikan rumah itu berlarutan sejak 26 tahun lalu iaitu 1998 dengan kerajaan bersilih ganti dan memberi kesan kepada 245 pekerja tersebut.
“Bagi mempercepatkan proses, Perbadanan PR1MA akan dilantik sebagai agensi pelaksanaan namun tertakluk kepada keputusan jemaah menteri. Kita menyiapkannnya sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh kelulusan dengan menjelang 2026 boleh diduduki,” katanya pada sidang akhbar di Ladang Sungai Tinggi, hari ini.
Tambah Kor Ming, PPR itu akan dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani bagi mencerminkan semangat perpaduan antara kaum dan keharmonian.
“Selain itu, kita akan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai simbolik penyerahan kunci kepada penerimanya apabila siap nanti.
“Rumah itu akan memberi manfaat kepada 1,250 orang dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air manakala reka bentuknya mampan alam selain terdapat sebuah dewan serbaguna dan tadika bagi keperluan penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 202 projek PPR melibatkan 115,039 unit rumah siap dibina di seluruh negara sejak 1998 hingga Mac lalu.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 19 projek melibatkan 7,517 unit adalah di peringkat pembinaan dan 19 projek lagi terdiri daripada 6,006 unit dalam peringkat perancangan.
“Nilai keseluruhan komitmen kewangan telah disediakan Kerajaan Persekutuan bagi program ini adalah berjumlah RM12 bilion,” ujarnya. – UTUSAN










