PUTRAJAYA: Dua bekas pemungut telur penyu terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 12 tahun kerana menyebabkan kematian rakan mereka yang juga penagih dadah, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail mengetepikan hukuman gantung terhadap Faizol Aznan Muhamad, 43, dan Mohd. Riduan Ismail, 35, serta memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tangkapan masing-masing pada 2016 dan 2017.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara meminda pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Ghazali Ismail memaklumkan representasi yang dikemukakan oleh kedua-dua anak guamnya telah diterima oleh pihak pendakwaan dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh menyebabkan kematian Razak Abdullah, 50, yang juga pemungut telur penyu di tepi Pantai Geliga, berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Geliga Chukai, Kemaman, kira-kira pukul 7 pagi, 3 Jun 2016.
Pertuduhan itu kemudian dibacakan kepada kedua-dua perayu dan mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Dua sahabat itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 9 Ogos 2021 yang mensabit dan menghukum mereka dengan hukuman mati.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.
Ringkasan kes pendakwaan menyatakan, polis menerima maklumat kira-kira pukul 7 petang hari kejadian berhubung penemuan mayat lelaki yang terdampar di tepi pantai berhadapan sekolah berkenaan.
Pemeriksaan polis mendapati, mangsa (Razak) hanya berseluar jeans manakala terdapat kesan lelehan darah dari hidung dan hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian akibat trauma tumpul.
Keterangan kes juga menunjukkan, sebelum itu berlaku perbalahan antara Faizol Aznan dan seorang lagi pemungut telur penyu berkaitan pembahagian telur. Mangsa kemudian menegur perayu pertama dan cuba meleraikan pertelingkahan itu.
Faizol Aznan yang tidak berpuas hati dengan teguran itu kemudian bertindak memukul mangsa bertubi-tubi dengan batang kayu manakala Mohd. Riduan menghentak kepala dan badannya dengan topi keledar.- UTUSAN










