18 loji ‘waste to energy’ bakal dibina - Utusan Malaysia

18 loji ‘waste to energy’ bakal dibina

KEADAAN terkini Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting yang telah dihentikan operasi sebelum dijadikan ladang solar di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 18 lokasi termasuk dua di Kedah dikenal pasti untuk pembinaan loji pengurusan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) yang merupakan kaedah baharu pengurusan sampah berbanding cara konvensional.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan kaedah itu bukan sahaja menepati hala tuju kerajaan untuk lebih mesra alam tetapi menjadikan sampah yang dibuang sebagai sumber boleh diperbaharui.

“Walaupun dalam mata sesetengah pihak ia adalah sampah tetapi bagi pihak lain sampah itu sebenarnya ‘emas’ yang boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga, maka kementerian sedang berusaha untuk menuju ke arah itu.

“Kita telah melihat contoh-contoh (WTE) yang berjaya di China, Jepun, Eropah dan Malaysia kini akan mengadaptasi teknologi yang paling canggih. Mungkin ada yang berlaku masalah teknikal tetapi kita akan ambil teknologi paling canggih untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Inisiatif Hijau Pemuliharaan Alam Sekitar bagi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting, di sini, hari ini.

Penyerahan itu dilakukan antara Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Dr. Mohd Azhar Abd. Hamid kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman.

Beliau ditanya mengenai perancangan kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khususnya mengenai kaedah pengurusan sisa pepejal yang masih banyak bergantung kepada kaedah konvensional ketika ini.

Kor Ming berkata, meskipun kaedah pengurusan  konvensional masih dilakukan namun negara dalam proses transisi ke arah WTE yang mana perincian berkaitan 18 lokasi dan projek tersebut akan diumumkan pada masa sesuai.

“Inisiatif mesra alam yang diambil KPKT ketika ini adalah mengurangkan kewujudan tapak pelupusan tidak sanitari seperti di Paya Kemunting ini yang beroperasi sejak 1974. Tapak ini merupakan lokasi ke-175 yang dihentikan operasi setelah ditutup pada 1 Januari 2019.

“Penutupan tapak pelupusan berkeluasan 5.26 hektar ini menggunakan kaedah tutup selamat yang terbaik berdasarkan garis panduan KPKT. Ia juga telah direka bentuk berkonsepkan simetrikal dengan ketinggian 38 meter di puncak dengan kerja penanaman rumput bagi mengindahkan tapak tersebut,” ujarnya.

Tambah Kor Ming, tapak tersebut dalam proses transformasi sebagai ladang solar yang dapat menjana pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan itu.

Beliau berkata, KPKT juga sedang mengenal pasti tapak-tapak seperti itu yang boleh dijadikan taman rekreasi seperti yang dilakukan di Tenggara, Johor. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN