Wartakan dahulu kawasan hijau di Kuala Lumpur - Hannah Yeoh

Wartakan dahulu kawasan hijau di Kuala Lumpur – Hannah Yeoh

HANNAH Yeoh melancarkan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur di Odean Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) akan memberi keutamaan kepada usaha mewartakan semua kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagai langkah melindungi tanah berkenaan daripada ditukar kepada kegunaan komersial.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pewartaan kawasan hijau merupakan keutamaan kementerian sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan kawasan berkenaan terus dipelihara.

“Keutamaan saya adalah mewartakan secepat mungkin. Jika saya tidak mewartakannya dan tidak menerbitkan senarai itu, tiada siapa akan tahu bahawa kawasan itu adalah kawasan hijau dan terdapat aktiviti komersial yang sedang dijalankan di atasnya.

“Selagi ia belum diwartakan, tanah-tanah tersebut boleh hilang. Tanah-tanah itu boleh bertukar menjadi kawasan komersial.Penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dan Hari Terbuka Ekosistem di Panggung Wayang Odeon KL, di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan orang ramai mengenai beberapa tapak kawasan hijau atau kawasan lapang yang telah diwartakan digunakan bagi tujuan komersial seperti restoran, ruang pameran kenderaan dan tempat letak kereta di ibu kota.

Hannah berkata, sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan bagi meneliti semua kawasan hijau yang akan diwartakan di bandar raya ini.

Katanya, selepas proses pewartaan selesai, kementerian akan menerbitkan senarai kawasan hijau tersebut secara dalam talian berserta lokasinya bagi membolehkan orang ramai menyemak status kawasan di tempat masing-masing.

“Ini akan memberi kuasa kepada orang ramai untuk melihat taman di kawasan mereka ialah kawasan hijau yang telah diwartakan.

“Apabila ia telah diwartakan, orang ramai boleh bertanya mengapa terdapat aktiviti seperti medan selera di kawasan tersebut. Saya harap semua pihak bersabar kerana masih terdapat ratusan kawasan hijau yang sedang menunggu proses untuk diwartakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN