JOHOR BAHRU: Momentum sokongan pengundi termasuk dalam kalangan masyarakat Cina terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) dilihat semakin meningkat memasuki hari-hari akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sehubungan itu berharap semua pengundi akan keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan Johor terus bergerak ke depan.
“Kalau rakyat mahu agenda Maju Johor 2030 dijayakan, mereka kena undi Barisan Nasional, kalau tidak, Nauzubillah.
“Alhamdulillah, saya telah jelajah hampir dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor. Saya tengok momentum dia kian meningkat, paling mengujakan bukan sahaja kalangan pengundi Melayu, tetapi juga Cina dan India.
“Mereka alu-alukan kehadiran calon kita, mengalu-alukan pemimpin kita di setiap kempen yang dijalankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Himpunan Usahawan Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, jentera BN fokus kepada gerak kerja untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di setiap kawasan DUN, termasuklah dengan turun berkempen secara rumah ke rumah.
“Kalau kita lihat, cara itu lebih berkesan. Sebab itu kita lihat BN tidak buat banyak ceramah-ceramah mega, ceramah umum. Sebaliknya kita fokus kepada gerak kerja untuk bertemu dengan seberapa banyak pengundi.
“Saya boleh katakan minggu pertama kami telah selesai pergi hampir semua rumah, itu KPI kami letakkan. Minggu kedua ini susulan untuk kita santuni golongan muda yang baharu balik dan sebagainya, itu paling mustahak,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung kejadian tular melibatkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang didakwa berkempen pada program Jelajah TVET MARA baharu-baharu ini, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA menafikan dakwaan tersebut.
Katanya, Onn Hafiz hadir ke program itu selaku Menteri Besar Johor, dan tiada mana-mana logo parti politik atau kain rentang berkenaan parti dipaparkan di mana-mana kawasan program.
“Saya dah katakan itu tiada kaitan dengan parti politik, ya. Tiada logo parti, tak ada poster parti sebagainya, apa yang ditularkan hanyalah sebahagian daripada program yang tidak menggambarkan semua.
“Kebetulan ada calon hadir, jadi dia cuma perkenalkan calon, itu sahaja. Sebaliknya, fenomena ‘Onn tak Onn’ adalah ‘real’,” katanya.-UTUSAN










