Empat dekad perjalanan seni penyanyi legenda, Datuk Aishah diraikan penuh gilang-gemilang menerusi penganjuran konsert solo ‘Aishah 40 Chapters of Love’ di Megastar Arena, baru-baru ini.
Konsert eksklusif anjuran Vox Nation Live itu bukan sahaja menghimpunkan rangkaian lagu malar segar yang mewarnai portfolio seninya, malah menjadi simbolik penghargaan tertinggi terhadap sumbangan beliau dalam landskap muzik tanah air.
Meskipun diadakan di dalam dewan berskala besar, kehangatan dan aura yang dibawakan oleh ikon seni itu berjaya mewujudkan suasana yang sangat intim bersama ribuan peminat setia yang hadir merentasi generasi.
Mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, konsert berdurasi hampir 3 jam itu menyaksikan Datuk Aishah membahagikan persembahannya mengikut bab demi bab kronologi seninya.
Beliau membuka tirai pentas dengan rangkaian lagu popular seperti ‘Camar Yang Pulang’, ‘Tiada Duka’, ‘Never Gave Up On You’ dan ‘Jari-Jariku Sakit Semua’ sebelum meneruskannya dengan barisan lagu yang lain.
Pentas malam tersebut turut diserikan dengan kemunculan penyanyi muda, Ara Johari yang berduet bersama beliau menerusi lagu ‘Kemaafan Dendam Yang Terindah’.
Kemuncak emosi konsert tercapai apabila lagu berhantu ‘Janji Manismu’ dilaungkan bersama oleh penonton, sebelum tirai dilabuhkan sepenuhnya dengan segmen ‘encore’ menerusi lagu ‘Pulanglah’ serta ‘Setitis Cahaya Di Aidilfitri’.
Mengulas mengenai impak malam bermakna itu, Datuk Aishah melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kesetiaan para peminat yang menjadi tunjang kekuatannya untuk terus bertahan.
“40 tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni. Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati,” luahnya.
Sementara itu, keseluruhan pengurusan muzik malam tersebut mendapat sentuhan magis daripada pengarah muzik terkenal, Sharon Paul yang memberikan susunan lebih segar tanpa merosakkan identiti asal setiap karya.
Bagi menghargai kehadiran penonton, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menjelaskan pihak penganjur turut memperkenalkan piring hitam (vinyl) edisi terhad eksklusif untuk dimiliki oleh para pengumpul tegar barangan fizikal.
“Sambutan yang diberikan malam ini benar-benar membuktikan betapa dalamnya cinta dan penghargaan terhadap legasi Datuk Aishah, dan kami percaya kenangan ini akan terus hidup dalam hati semua yang hadir,” kata Shawn Chang.










