AI ubah landskap perbankan, namun perlu seimbang

AI ubah landskap perbankan, namun perlu seimbang

AMIR Hamzah Azizan ketika berucap pada Persidangan Perbankan Malaysia ke-4 (MBC 4.0) dan Persidangan Audit Bank ke-2 (BAC 2.0) anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) membawa perubahan besar kepada landskap perbankan Malaysia, namun penggunaan teknologi itu perlu diseimbangkan dengan pertimbangan manusia serta aspek kepercayaan, kata Menteri Kewangan II. 

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, AI kini memainkan peranan besar dalam pelbagai aspek perbankan termasuk penilaian kredit, pengesanan penipuan, interaksi pelanggan, pemantauan pasaran, audit dalaman, pematuhan, keselamatan siber, pemodelan risiko dan peningkatan kecekapan operasi.

“Teknologi ini turut membuka peluang untuk memperkukuh proses membuat keputusan, meningkatkan sistem amaran awal dan meluaskan akses perkhidmatan kewangan kepada golongan yang masih kurang mendapat liputan.

“Semakin pintar sistem lejar, semakin kita perlu berwaspada dalam melindunginya daripada risiko serta kelemahan baharu yang muncul,” katanya dalam ucaptama pada pembukaan sidang AICB Nexus 2026 anjuran Asian Institute of Chartered Bankers hari ini.

Amir Hamzah berkata, AI perlu kekal sebagai alat yang dipandu oleh pertimbangan manusia, manakala tadbir urus dan mekanisme pemantauan yang kukuh amat diperlukan selaras dengan perkembangan sistem kewangan yang semakin kompleks.

“Risiko terbesar dalam ekosistem kewangan berasaskan AI bukan sekadar kemungkinan mesin membuat keputusan yang salah, tetapi apabila manusia dimanipulasi sehingga membuat keputusan yang merugikan.

“Rakyat Malaysia mengalami kerugian berjumlah RM2.8 bilion akibat penipuan kewangan pada 2024, dengan 95 peratus kes membabitkan transaksi yang disahkan sendiri oleh mangsa, merujuk Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2025.

“Mangsa terpedaya akibat teknik kejuruteraan sosial yang semakin canggih sehingga mereka sendiri memindahkan wang kepada pihak penipu. Ini bukan kegagalan teknologi. Ini adalah kegagalan kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata, ancaman seperti kejuruteraan sosial, akaun keldai, penyamaran identiti, pancingan data, identiti sintetik dan penipuan yang dijana AI kini memberi cabaran besar kepada bank dalam usaha melindungi pelanggan serta mengekalkan keyakinan awam.

“Sehubungan itu, bank perlu terus berinovasi dalam mengesan corak transaksi luar biasa, memperkukuh kaedah pengesahan, melindungi pelanggan yang terdedah kepada risiko serta bertindak pantas terhadap ancaman baharu,” ujarnya. 

Beliau berkata, fungsi audit dalaman, pengurusan risiko dan pematuhan tidak lagi boleh dilihat sebagai fungsi sokongan semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada asas kepercayaan dalam industri perbankan.

Menurutnya, fungsi berkenaan penting bagi memastikan model AI dapat dijelaskan dan difahami, data kekal tepat, kawalan operasi berkesan serta lembaga pengarah mampu membuat keputusan berkaitan teknologi dengan yakin.

Melangkah ke hadapan, Amir Hamzah berkata, profesional perbankan masa depan perlu menguasai bidang data, risiko tingkah laku, tadbir urus AI, kelestarian dan etika selain mempunyai kepakaran dalam kewangan.

“Teknologi akan terus mengubah industri kewangan, namun bank tidak boleh melupakan bahawa setiap transaksi melibatkan manusia.

“Di sebalik setiap akaun, setiap permohonan dan setiap titik data, terdapat seorang individu. Itu bukan sekadar sentimen, tetapi asas kepada keseluruhan industri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN