KUALA TERENGGANU: Seramai 17 pelajar yang juga penghafal 30 juzuk al Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu mencipta sejarah apabila memperoleh 12 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.
Selain itu, seramai 11 pelajar sekolah itu mendapat 11A, diikuti 15 orang 10 A dan 17 orang lagi mendapat 9A.
Pelajar cemerlang SMIYT Kuala Terengganu, Amir Hariz Amir Mohd. Hafiz, 18, yang memperoleh 12A+, berkata, amalan membaca al-Quran setiap hari dan menolong rakan-rakan membuat ulangkaji adalah rahsia kejayaannya hari ini.
Anak sulong daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang itu kerana hanya memperolehi 5A+ dan 7A ketika peperiksaan percubaan SPM tahun lalu.
“Sejak itu, saya melipatgandakan usaha dengan bimbingan guru-guru yang sentiasa mengadakan kelas tambahan setiap hari termasuk cuti hujung minggu.
“Kami, pelajar juga berkorban masa cuti untuk memastikan program kecemerlangan akademik berjalan lancar kerana ada kalanya tidak dapat pulang ke rumah dalam tempoh yang lama dan pada masa sama memastikan hafazan al-Quran sentiasa lancar.
“Begitu juga usaha ibu bapa yang membaca Yassin setiap pagi berjemaah melalui Google Meet untuk mendoakan kejayaan kami dalam SPM kali ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, di sini, hari ini.
Di Terengganu, seramai 464 atau 2.83 peratus daripada 16,382 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Seorang lagi pelajar cemerlang SMIYT Kuala Terengganu yang mendapat 12A iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mohd. Anuar, 18 pula berkata, usaha gigih guru-guru banyak membantu pelajar dalam menghadapi SPM kali ini.
“Rutin harian kami sangat padat bermula pukul 5 pagi untuk menghafaz al Quran diikuti kelas akademik, kelas tambahan dan aktiviti keagamaan di surau hingga 11 atau 12 malam.
“Alhamdulillah, penat lelah pelajar, guru-guru dan ibu bapa berbaloi hari ini dengan kejayaan yang dikecapi selaras matlamat sekolah mahu melahirkan tenaga kerja profesional yang hafiz al Quran,” katanya. – UTUSAN










