PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersedia menghulurkan sumbangan tunai kepada semua waris mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sumbangan sekali sebanyak RM3,000 bagi setiap waris itu akan disalur menerusi Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA) yang dikendalikan oleh YKN.
“Saya sendiri akan ke Serian, Sarawak untuk serah bantuan ini terus kepada ahli keluarga mendiang Joanna Felicia Rohna yang meninggalkan suami dan dua anak kecil,” katanya ketika ditemui pemberita di kementerian itu, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai Majlis Tahlil bagi memperingati 10 mangsa terbabit yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa. Acara khas berkenaan dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di kementerian tersebut, Mohamad Zaid Jumali dengan disertai hampir 200 pegawai dan kakitangannya.
Selasa lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terkorban dalam nahas pertembungan dua buah helikopter ketika raptai udara Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, timbalan beliau, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad juga akan menyerahkan bantuan PEKA kepada baki sembilan keluarga mangsa di rumah mereka.
“Ini termasuklah mereka berpangkalan di Sabah,” katanya merujuk tujuh mangsa terbabit dalam pesawat HOM AW139 yang bertugas dengan Skuadron 503 di TLDM Sepanggar.
Skim PEKA diwujudkan YKN bagi memberikan sokongan moral dan meringankan beban keluarga mangsa bagi pelbagai insiden tragik di seluruh negara sejak lebih sedekad lepas.
Antaranya ialah mangsa bot ekspres karam di Belaga, Sarawak dan nahas bas di Genting Highlands, Pahang pada 2013 serta tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor pada 2011.
Selain itu tambah Nancy lagi, pihak kementeriannya menerusi Pusat Sokongan Sosial Setempat di Jabatan Kebajikan Masyarakat akan hadir menyantuni setiap keluarga mangsa. – UTUSAN










