KUANTAN: Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) diharap terus menjadi platform utama mengiktiraf usaha dan sumbangan anak muda di seluruh negara, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin berani tampil memimpin, berbakti serta membawa perubahan positif dalam komuniti.
Harapan itu dizahirkan oleh alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Agha Khilfi Suarno, 28, yang dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Lelaki APBN Peringkat Negeri Pahang 2026 baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dalam majlis yang turut menyaksikan pelancaran Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang.
Menurut Agha Khilfi, kejayaan itu bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah besar untuk beliau terus menyumbang kepada pembangunan negeri Pahang dan Malaysia melalui pendidikan, kepimpinan belia serta inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau kini berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Kolej Yayasan Pahang (KYP), selain aktif dalam gerakan belia sebagai Pegawai Khas Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang dan Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas kejayaan ini. Ia bukan hasil usaha saya seorang, tetapi doa dan sokongan keluarga, mentor serta rakan-rakan yang sentiasa memberi peluang untuk saya berbakti,” katanya.
Sepanjang penglibatannya, Agha Khilfi aktif memimpin pelbagai inisiatif kepimpinan, kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti di peringkat universiti, negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Dalam masa terdekat, beliau bakal melaksanakan Retreat dan Pemerkasaan Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia pada Ogos ini, sebagai usaha memperkukuh peranan kepimpinan dan komunikasi dalam kalangan ahli pertubuhan.
Beliau turut berhasrat memperluaskan program pembangunan belia melalui kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan belia, demi melahirkan lebih ramai pemimpin muda berdaya saing dan berintegriti.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk melangkah ke hadapan, mencipta impak dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara,” ujarnya. – UTUSAN










