PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Ieda Moin meluahkan rasa terkilan dengan sikap sesetengah rumah produksi yang tidak menghargai pengalaman serta kredibiliti pelakon dalam industri seni tanah air.
Ieda, atau Siti Haida Abd Moin, 47, mendedahkan dia pernah berdepan situasi ditawarkan harga tidak munasabah bagi seorang pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan sejak 1996 lagi.
Mengulas lanjut, Ieda berkata, dia pernah ditawarkan bayaran sekecil RM500 untuk drama bersiri dengan durasi satu jam setiap episod.
“Dia orang pernah panggil saya untuk buat drama satu episod sejam, tawar RM500. Sampai saya tanya kepada Pengurus Produksi (PM) itu, sudah berapa lama dia bekerja dalam industri?
“Saya jarang marah, bukan niat nak berlagak, tetapi kita ada rate card dan harga kita sendiri.
“Saya sedih kerana ada artis yang sanggup ambil harga serendah itu dan secara tidak langsung ‘membunuh’ harga pasaran pelakon lain yang sepatutnya.
“Saya tahu pun sebab apabila drama tersebut tayang, watak yang dilakonkannya sama seperti karakter yang ditawarkan kepada saya.” katanya ketika ditemui semasa sesi bersama media bersama drama Ate Kome I Love You, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon Sumpah Ibuku itu juga turut mempersoalkan jurang perbezaan bayaran yang sangat ketara antara pelakon berpengalaman dengan pelakon baharu yang kini mampu mencecah ribuan ringgit sehari.
Jelasnya, situasi itu membuatkan pelakon lama terasa seolah-olah maruah mereka dipijak demi kepentingan produksi.
“Budak-budak baharu ini boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 sehari atau satu episod. Kita yang sudah lama ini, nak dapat RM2,000 pun payah, apatah lagi bila ditawar RM500.
“Ini bukan sebab kita cemburu kepada mereka atau apa. Jika itu sudah rezeki pelakon tersebut, tidak mengapa.
“Cuma saya persoalkan produksi kalau RM500 untuk 10 babak, satu babak jatuh berapa ringgit sahaja? Saya tidak boleh terima harga itu kerana ia merosakkan pasaran. Rasa macam kita ini berada di bawah tapak kaki mereka,” katanya.
Sementara itu, Ieda turut membandingkan suasana kerja zaman dahulu dengan sekarang yang dianggap semakin menekan pelakon.
Menurutnya, jika dahulu pihak produksi menyediakan segala kemudahan termasuk pakaian dan tuntutan perjalanan, namun kini pelakon terpaksa menguruskan segalanya sendiri walaupun bayaran yang diterima semakin mengecil.
“Dulu pergi penggambaran, baju disediakan. Sekarang kita faham susah nak dapat penaja, kita bawa sendiri. Tetapi sudahlah kena bawa baju sendiri, produksi pula tentukan itu tak boleh, ini tak boleh.
“Dulu boleh tuntut duit minyak dan tol, sekarang tidak lagi. Bukan kita nak berkira, tetapi kita mahu bekerja dalam suasana yang gembira dan dihargai,” ujarnya.
Jelas Ieda, turut menekankan bahawa sebagai pelakon dia tidak pernah berkompromi tentang disiplin termasuklah sentiaaa hadir tepat waktu ke set penggambaran.
“Tidak berbaloi, sebab kalau nak cakap tentang disiplin. Tanyalah mana-mana yang pernah bekerja dengan saya? mereka tidak pernah menunggu saya.
“Biar saya yang tunggu orang lain, jangan orang lain tunggu kita. Apatah lagi bagi media tunggu kita, takut. Seminit lambat pun sudah minta maaf,” katanya. -UTUSAN










