Shahmalarani enggan sorak awal, fokus Sukan Asia

Shahmalarani enggan sorak awal, fokus Sukan Asia

C. Shahmalarani (kanan) masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas dalam Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara 2026. - MINGGUAN AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh karate negara, C. Shahmalarani enggan terlalu hanyut dengan kejayaan mempertahankan pingat emas Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara 2026, sebaliknya mengakui cabaran sebenar bermula di Sukan Asia Aichi-Nagoya, September ini.

Pemenang emas kategori kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) itu menganggap kejayaan di Hanoi, Vietnam sebagai permulaan positif untuk mengembalikan rentak pertandingan selepas berehat panjang, namun sedar tahap persaingan di pentas Asia jauh lebih mencabar.

Menurut juara Sukan SEA tiga kali itu, kejohanan di Asia Tenggara tidak boleh dijadikan ukuran kerana hampir semua pencabar utama dalam kategorinya di Sukan Asia merupakan atlet bertaraf dunia.

“Ini memang satu permulaan yang baik. Selepas Kejohanan Karate Asia, saya melihat SEAKF sebagai langkah pertama ke arah Sukan Asia.

“Selepas ini kami ada satu lagi kejohanan di Thailand sebelum ke Sukan Asia dan saya harap momentum ini akan berterusan.

“Tetapi tahap SEA dan Asia sangat berbeza. Di Asia ada Jepun, Kazakhstan, Jordan dan ramai lagi yang merupakan juara dunia dalam kategori saya. Cabarannya memang jauh lebih sukar, tetapi saya rasa saya berada di landasan yang betul,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Shahmalarani berkata, dominasi atlet Asia di pentas dunia membuktikan betapa sengitnya persaingan apabila keempat-empat separuh akhir Kejohanan Dunia sebelum ini dikuasai wakil benua tersebut.

Katanya, situasi itu menyebabkan tiada satu negara yang boleh dianggap sebagai pencabar utama kerana hampir setiap negara memiliki atlet bertaraf dunia dan calon podium.

“Kalau di Asia, anda tidak boleh fokus kepada satu atau dua negara sahaja. Hari ini Kazakhstan menang, esok mungkin Uzbekistan pula.

“Ramai atlet berada pada tahap yang sangat tinggi dan kita juga tidak tahu siapa lawan yang akan diundi pada hari pertandingan.

“Kalau mahu menang emas, akhirnya anda tetap perlu menewaskan semua pencabar terbaik. Memang bukan tugas mudah, tetapi saya percaya ia boleh dilakukan,” katanya.

Shahmalarani mempertahankan gelaran SEAKF selepas menewaskan wakil tuan rumah, Pham Thi Dao, 2-1 pada perlawanan akhir, sambil mengakui dia memilih pendekatan lebih berhati-hati kerana berdepan atlet Vietnam di hadapan penyokong sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN