WASHINGTON: Parti Republikan mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap Kanada dan beberapa pegawai kerajaannya susulan asap daripada kebakaran hutan yang melanda negara itu menjejaskan kualiti udara di sebahagian besar Amerika Syarikat (AS).
Asap kebakaran yang merentasi sempadan mewujudkan keadaan berjerebu serta tahap pencemaran udara berbahaya yang menjejaskan puluhan juta penduduk AS.
Presiden AS, Donald Trump, kelmarin menyalahkan Kanada terhadap punca pencemaran itu dan bercadang menghubung Perdana Menterinya, Mark Carney, untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah Ottawa menangani kebakaran berkenaan.
“Amerika Syarikat sedang diceroboh secara tidak perlu oleh udara yang kotor, tercemar dan tidak sihat,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.
Beliau turut mengancam untuk mengenakan tarif tambahan terhadap Kanada atas dakwaan negara itu melakukan ‘kecuaian yang disengajakan’ dalam menangani kebakaran.
Sehari sebelumnya, Senator Republikan dari Ohio, Bernie Moreno, memaklumkan akan membentang rang undang-undang minggu depan bagi mengenakan sekatan terhadap Kanada serta pegawai kerajaan yang dianggap bertanggungjawab.
Negeri Ohio berkongsi sempadan maritim dengan wilayah Ontario di Kanada.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Kanada, sehingga kelmarin, 888 kebakaran hutan masih aktif di seluruh negara itu, dengan kebanyakannya belum dapat dikawal.
Lebih 190 daripada kebakaran itu dilaporkan berlaku di wilayah Ontario, dan sebahagian besarnya masih marak.
Kebakaran hutan turut berlaku di beberapa kawasan di AS, dengan Pusat Bomba Antara Agensi Kebangsaan (NIFC) menyifatkan tahun ini mencatatkan jumlah kebakaran melebihi purata.
Di utara Minnesota, lebih 25,495 hektar kawasan terbakar, manakala kebakaran hutan turut dilaporkan di Oregon, Washington dan Idaho. Asap daripada kebakaran itu juga bergerak ke utara dan menjejaskan kualiti udara di Kanada.- AGENSI










