SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan pengurusan kes dadah bagi penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman pada 24 Mei depan selepas keputusan Mahkamah Sesyen terhadap kesnya pada tahun lalu dirayu, hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman, menetapkan tarikh itu bagi membenarkan defendan melantik peguam sebelum menjalani prosiding di mahkamah tersebut.
“Kalau anda sudah melantik peguam dalam jangka masa terdekat, boleh maklumkan kepada mahkamah seminggu sebelum tarikh pengurusan kes pada Mei ini.
“Jadi selepas peguam dilantik, awak tidak perlu hadir ke mahkamah dan sudah memadai dengan kehadiran peguam untuk prosiding selanjutnya. Pada tarikh 24 Mei ini juga, mahkamah akan serahkan rekod rayuan dan langkah seterusnya hanya akan boleh dimaklum pada tarikh itu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Yasin yang juga dikenali sebagai Yasin ketika ditemui memberitahu, beliau akur dan bersedia mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi walaupun beranggapan proses tersebut hanya membuang masa dan tenaga.
Menurutnya, kesemua perkara sudah pun dikemuka dan diperjelaskan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dahulu sebelum keputusan melepas dan membebaskannya diberikan oleh hakim.
“Jadi, itulah pendakwa raya tetap hendak bawa ke Mahkamah Tinggi dan saya ikutlah, insya-Allah. Tetapi saya percaya Mahkamah Tinggi akan mendapati bahawa keputusan yang dilakukan Mahkamah Sesyen adalah tepat, benar, tiada apa yang tertinggal atau khilaf, kontradiktif dan sebagainya.
“Hari ini, ditanya sama ada saya hendak lantik peguam sebab saya pun belum lantik untuk kes di Mahkamah Tinggi. Kita akan lihat jika akan lantik peguam yang lama. Tetapi kita akan pertimbangkan mana-mana pihak,” jelasnya.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim mewakili pihak pendakwaan.
Jelasnya, pada prosiding di Petaling Jaya sebelum ini, tiada keraguan terhadap keterangan-keterangan saksi yang diberikan apabila mereka terdiri daripada pegawai kerajaan seperti polis, pegawai kimia dan pegawai perubatan Hospital Bahagia, Ulu Kinta.
Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan Yasin, 49, daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Perintah tersebut ditetapkan selepas seorang pakar perunding psikiatri pada 17 Oktober tahun lalu dalam keterangan mencadangkan pelantun lagu poopular ‘Mimpi Laila’ itu menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.
Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu. – UTUSAN










