PERJUMPAAN keluarga waris Allahyarham Md. Yusof Kassim, individu yang membuka Kampung Melayu Bukit Panjang, Pekan Nanas, Pontian sentiasa dinanti-nantikan saban tahun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis yang diadakan pada hari raya ketiga itu berlangsung meriah di rumah penganjurnya, Jumaat Bidin, 60, yang juga cucu kepada Md. Yusof.
Ayahnya, Allahyarham Bidin Md. Yusof adalah anak kedua daripada sembilan beradik termasuk tiga adik tiri.
Setiap keluarga yang hadir menyumbang RM30 bagi kos penyediaan jamuan raya seperti ketupat, lontong, ayam masak merah, rendang dan kuih-muih.
Turut diadakan bacaan tahlil dan doa selamat, diikuti marhaban.
Tahun depan, majiis yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim itu akan diadakan di rumah salah sorang waris di Felda Adela, Kota Tinggi.










