PUTRAJAYA: UMNO menyokong inisiatif untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan sedia ada demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti mempunyai misi dan komitmen jelas iaitu komited menyokong apa jua saranan demi kepentingan sebuah negara yang stabil politiknya dan ekonominya yang berkembang pesat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan sedia ada mesti mempertahankan kestabilan politik di negara kita.
“Kita terbuka dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) amat menyantuni rakan-rakan di dalam parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan, malah 18 parti ini walaupun berbeda politik masih mempunyai objektif yang sama.
“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah medan untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melakukan persediaan rapi pada PRU16 kelak sekali gus memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada 21 April lalu.
Ahmad Zahid berkata, pada hematnya, 152 ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga majoriti mesti dipertahankan dengan apa jua kaedah dan pendekatan.
Menurutnya, apa yang lebih penting, pertumbuhan ekonomi sedia ada mesti dijana dengan baik supaya ia dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Ia bukan hanya sekadar peluang pekerjaan dengan tawaran gaji minimum sebaliknya dengan gaji premium.
“Malah, ketika ini juga, gaji penjawat awam juga sedang dalam kerangka untuk diumumkan dan ia diharap dapat mempertingkatkan produktiviti dan penyampaian kerajaan.
“Punca kepada perkembangan ekonomi ini adalah kestabilan politik dan ianya mesti dipertahankan,” katanya. – UTUSAN










