PUTRAJAYA: Penutupan kedai makan 24 jam seperti cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak menjamin pengguna mencari alternatif lain.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebaliknya ia harus mengambil kira keseluruhan sumber makanan yang mudah didapati di Malaysia seperti mi segera dan makanan berkelah sebagai merujuk amalan pemakanan tidak sihat.
Beliau berkata, sebarang perubahan tingkah laku individu memerlukan tahap kesedaran dan literasi kesihatan yang tinggi.
“Satu daripada tiga individu mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah.
“Setiap individu bertanggungjawab ke atas tabiat pemakanan dan gaya hidup mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Sulaman Kasih Aidilfitri Kementerian Perpaduan Negara, di sini hari ini.
Semalam, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa lesen operasi 24 jam diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.
Ia berikutan kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, terdapat kumpulan tertentu yang bergantung kepada perkhidmatan kedai makan 24 jam seperti petugas barisan hadapan iaitu polis, bomba, doktor, jururawat, petugas keselamatan dan lain-lain.
“Menghentikan perkhidmatan secara pukal akan menyebabkan kesukaran kepada mereka,” katanya.
Beliau turut memberitahu, pihaknya akan memperhalusi cadangan CAP dengan menyediakan kertas cadangan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN











