Titah Adendum tidak dibincang dalam mesyuarat Kabinet - Fahmi

Titah Adendum tidak dibincang dalam mesyuarat Kabinet – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

“Tidak dibincangkan,” jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Najib membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini, pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Pada sidang akhbar sama, Fahmi turut memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri juga tidak membincangkan ikrar afidavit oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Media sebelum ini melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum disahkan ialah Ahmad Zahid.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Afidavit itu boleh dimuat turun oleh orang awam menerusi laman web e-Kehakiman.

Ahmad Zahid menegaskan melihat dengan jelas semua kandungan Titah Adendum dan ia adalah sebahagian proses pengampunan Najib yang menjadi tambahan kepada Titah Utama bertarikh sama.

Justeru, Presiden UMNO itu mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN