Titah adendum Najib: Anwar tidak boleh cakap tidak tahu 

Titah adendum Najib: Anwar tidak boleh cakap tidak tahu 

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, hari ini. - UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangan terhadap kerajaan berhubung titah adendum kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu membenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan Perpaduan kini sudah ‘retak menanti belah’.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil sikap yang bertanggungjawab dan memberi fakta-fakta jelas berhubung isu membabitkan rakyat.

“Lima ke enam Menteri sudah membuat kenyataan tetapi apabila tanya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau kata tidak tahu. Maksud tidak tahu itu apa? Dia nak lepas tangan atau apa?

“Kami dalam PN pandang cukup berat dan saya fikir rakyat jelata pun nak tahu apa yang sudah berlaku. Lembaga Pengampunan sudah bersidang, sudah selesai dan umumkan. Macam mana tercetus berita baharu?

“Yang diumumkan sebelum ini adalah afidavit, kalau afidavit ke mahkamah tidak boleh main-main tetapi Perdana Menteri boleh kata dia tidak tahu,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini  hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri enggan terbabit dalam perbincangan berkaitan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa supaya Najib menghabiskan baki tempoh pemenjaraan dengan tahanan di rumah.

 Anwar dilaporkan berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar adalah kekal sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menerima kenyataan berkenaan perkara itu dan terus memberi tumpuan bagi menjamin keamanan serta memperkukuh kestabilan politik dan membangunkan negara.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, isu tersebut menunjukkan wujud ketidaksatuan dari segi pemikiran dalam kalangan pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan.

“Apa situasi dan keadaan yang ada berkaitan dengan rakyat, Perdana Menteri tidak boleh lepas tangan.

“Kena betulkan keadaan itu, betul atau tidak? Saya bukan nak menyelebahi mana-mana pihak tetapi kita cakap soal integriti dan governans yang bagi saya cukup penting dalam keadaan sekarang,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN