Tiada tindakan singgung kuasa raja Melayu dalam kes Najib

Tiada tindakan singgung kuasa raja Melayu dalam kes Najib

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada tindakan kerajaan yang menyinggung kuasa raja-raja Melayu dalam isu berkaitan afidavit pengampunan diraja melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini kerajaan tidak mencampuri urusan badan kehakiman termasuk memastikan kebebasan pasukan pihak berkuasa termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

“Mereka harus bertindak dengan tegas tanpa campur tangan politik dan juga tentang peranan Parlimen. Sekarang ini badan kehakiman dikenali sebagai badan yang bebas. Belum ada satu kes saya panggil hakim untuk berunding dalam mana-mana masalah.

“Ada teguran termasuk kes afidavit Timbalan Perdana Menteri dan saya turut diserang, saya tidak faham apa masalahnya, saya jawab itu menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan titah Yang di-Pertuan Agong, itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan juga maklumat daripada Sultan dan Agong,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, semalam.

Jumaat lalu Perdana Menteri menjelaskan beliau tidak mahu terlibat dengan perbincangan membabitkan titah tambahan berhubung tahanan di rumah membabitkan bekas Najib kerana perkara itu merupakan bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan juga melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR memaklumkan, kerajaannya tidak terjejas dengan pertikaian tersebut dan menjelaskan hubungan antara parti induknya, Pakatan Harapan (PH) bersama UMNO Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih kukuh.

Malah, beliau menyelar tindakan individu kononnya cuba menjadi pengulas dan pengkritik politik terkemuka yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai modal untuk dibangkit dan dibahas dalam kalangan rakyat.

“Belum ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa raja-raja Melayu. Kalau tak faham tak layak jadi pembicara dan pengulas politik yang terkemuka. Agendanya hendak serang sahaja.

“Ada yang perlu dirunding di luar jemaah menteri, tetapi setakat ini belum ada tanda keretakan kecil sekali pun antara PH, UMNO BN, Sabah dan Sarawak, yang ada hanya gerombolan desperados yang cuba adu domba, saya katakan pada mereka good luck and good bye,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN