Terminal bas Shah Alam, Klang jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Terminal bas Shah Alam, Klang jadi tumpuan

Terminal bas
PENGGUNA beratur sebelum menaiki bas dekat Terminal 17 untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terminal bas ekspres di bandar raya ini dan Klang Sentral mulai sesak dikunjungi warga perantau yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak Jumaat lalu.

Malah, dalam tinjauan Mingguan Malaysia pada kedua-dua terminal tersebut mendapati pengunjung sudah pun membanjiri stesen berkenaan sejak pagi bagi mereka yang mengambil cuti lebih awal untuk bertolak.

Keadaan dilihat meriah apabila orang ramai dan ahli keluarga membawa bagasi besar menandakan mereka akan bercuti lama di kampung masing-masing yang turut diserikan dengan putaran lagu raya oleh pengurusan terminal selain suara teriakan kanak-kanak.

Seorang jururawat sebuah hospital swasta, Nurul Ainul Ahmad Rashid, 29, ketika ditemui berkata tahun ini dia memilih untuk balik awal ke Kota Bharu, Kelantan apabila dikehendaki bertugas semula pada hari pertama Syawal.

“Tahun ini, giliran saya pula untuk bekerja pada hari raya kerana sudah bercuti pada tahun lalu. Tetapi, tetap juga bersyukur sebab dapat cuti sebelum raya dan menikmati kemeriahan menjelang hari raya,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, dijangka sebanyak 12.6 juta kenderaan akan berada di semua rangkaian lebuh raya di seluruh negara susulan orang ramai mula meninggalkan kediaman mereka untuk pulang ke kampung halaman sejak Jumaat lalu.

Malah, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) memberitahu, mereka menjangkakan sekurang-kurangnya 150,000 kenderaan sehari akan melalui lebuh raya itu dan angkanya mencecah hampir sejuta dalam tempoh lima hari menjelang sambutan Aidilfitri.

Selain itu, bilik hotel dan inap desa di beberapa negeri dilaporkan hampir habis ditempah oleh para perantau untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing. 

Selain pulang beraya, amalan kunjung-mengunjung juga akan menyaksikan pergerakan kenderaan di jalan utama dan lebuh raya yang dianggap paling besar di negara ini. 

Terminal bas
ORANG ramai berpusu-pusu bersama ahli keluarga dan bagasi masing-masing menunggu ketibaan bas ekspres dekat Terminal 17 untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Sementara itu, dalam tinjauan sama rata-rata pengguna ditemui memilih untuk pulang ke kampung dengan menaiki pengangkutan awam kerana selain tidak mempunyai kenderaan sendiri, sebahagian yang lain memberitahu enggan berasa penat menempuh kesesakan jalan raya.

Menurut seorang pekerja kilang, Muhammad Ikmal Muhammad Idris, 37, dia pulang awal ke kampung di Alor Setar, Kedah kerana perlu kembali bertugas pada Isnin dan memilih untuk menaiki bas supaya dapat berehat untuk menempuh perjalanan yang jauh.

“Tahun ini giliran saya bekerja pada 1 Syawal, jadi cuti pada hujung minggu ini saya manfaatkan masa bersama isteri, anak-anak dan untuk bertemu ahli keluarga lain sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Kalau memandu sendiri pastinya perlu menempuh kesesakan yang memenatkan sebab masa saya terhad sebelum kembali pulang ke Shah Alam untuk bekerja pada Isnin nanti. Jadi lebih selamat dan anak-anak pun suka naik bas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN