KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri meneroka industri hidrogen hijau sebagai sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui bagi menjamin kemakmuran dan perkembangan ekonomi negeri.
Baginda bertitah, usaha melalui Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) itu dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya RM824 bilion menjelang 2050.
“Inisiatif HETR ini perlu diambil peluang oleh kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju utama di dalam sumber tenaga hijau.
“Justeru itu, segala tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui sumber tenaga boleh baharu perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan teknologi pengeluarannya yang cekap serta mampan,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-62 di Istana Syarqiyyah, di sini semalam.
Baginda juga menitahkan kerajaan negeri supaya menjalankan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini bagi mempercepatkan pembangunan industri hidrogen hijau.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad Ab. Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin mendahului senarai 104 penerima darjah kebesaran negeri pada istiadat itu.
Mohammad dan Razarudin dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultanah Terengganu, Sultnah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasaruddin Mohd. Zawawi dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, seramai 25 individu termasuk seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.
Exco Kerajaan Negeri yang dianugerahkan DPMT ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Turut menerima anugerah DPMT ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan, Ab. Rasid Jusoh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif, Pro Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tunku Datuk NooruddinTunku Shahabuddin dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Azmal Azaddin.
Seramai 21 individu menerima Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ), 14 Setia Mahkota Terengganu (SMT), 13 Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) dan 27 Ahli Mahkota Terengganu (AMT). – UTUSAN










