Tak menang tangan layan pelanggan 'buru' biskut raya

Tak menang tangan layan pelanggan ‘buru’ biskut raya

KASSIM Osman menunjukkan biskut raya yang dijual di kedainya di Tapah, Perak. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang pengusaha makanan secara borong di Jalan Tapah, di sini tidak menang tangan menyantuni sekitar 500 hingga 1,000 pelanggan di kedainya yang mahu membeli biskut raya dan kerepek.

Kassim Osman yang mengusahakan perniagaan KZ Aneka Kerepek bersama isteri, Roziah Badaruddin, 61, selama lebih 30 tahun berkata, suasana itu menjadi rutin setiap tahun apabila menjelang ketibaan 1 Syawal.

“Kedai kami diserbu pelanggan setiap kali menjelang raya mungkin kerana ramai yang baru mendapat gaji dan bonus.

“Biasanya sekitar 500 hingga 1,000 pelanggan beli aneka kerepek seperti kerepek bawang, ubi dan pisang sementara biskut raya pula jenis tart nenas, almond london dan semperit. Memang penat tetapi puas hati,” katanya di sini.

Kassim berkata, dia tidak gusar dengan stok lebih 40 jenis kerepek dan 20 jenis biskut raya kerana mempunyai pembekal tetap sekitar Ipoh dan Selangor.

“Saya tidak pernah khuatir soal ketiadaan stok kerana telah lama berurusan dengan pembekal sekitar Ipoh dan Selangor.

“Harga yang ditawarkan juga berpatutan seperti biskut raya aneka jenis dijual dengan harga RM20 sebekas iaitu dengan syarat pembelian minumum lima bekas bagi mendapatkan harga tersebut,” katanya.

Menurutnya, biskut raya dijualnya merupakan buatan tangan orang kampung yang dijamin kualiti dan kesedapannya.

“Syukur dengan perniagaan ini saya mampu memberikan pendidikan kepada keenam-enam anak sehingga peringkat universiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN