PUTRAJAYA: Tindakan mana-mana pihak yang dilihat mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan hukuman Datuk Seri Najib Razak adalah tidak wajar dan tidak menggambarkan kepentingan isu sebenar buat masa ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Azlinda Baroni berkata, bekas Perdana Menteri itu telah dibicarakan dan diberikan pengurangan hukuman yang sewajarnya mengikut proses yang betul.
Beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah membataskan bentuk pengampunan, pengurangan dan lega hukum seperti yang ditafsirkan oleh mahkamah dalam kes sebelum ini.
“Tahanan di rumah ada peraturan dan syaratnya seperti yang ditetapkan undang-undang.
“Jika syarat tersebut tidak termasuk dalam takrifan kuasa yang boleh diputuskan oleh Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan, bagaimana isu ini boleh timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyokong dakwaan Najib berhubung kewujudan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong supaya bekas ahli Parlimen Pekan itu yang kini meringkuk di Penjara Kajang untuk menghabiskan baki hukumannya dengan tahanan di rumah.
Sokongan itu diberikan Ahmad Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Beliau mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Januari 2024.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata, Setiausaha Lembaga Pengampunan merupakan pihak yang berwibawa untuk mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan badan itu.
Katanya, adalah tidak sopan sebarang kenyataan menyentuh pandangan peribadi bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertindak sebagai Pengerusi Lembaga kerana Seri Paduka Baginda diperuntukkan bertindak mengikut nasihat Lembaga.
“Tindakan mana-mana pihak yang cuba mewujudkan keadaan pertembungan antara keputusan Lembaga Pengampunan dengan dakwaan adanya hasrat Agong, akhirnya boleh memprejudiskan kebebasan pendirian baginda kerana Najib adalah pembesar utama Negeri Pahang.
“Nama baik Tuanku juga akan dicemari dengan pelbagai tohmahan kerana isu tersebut melibatkan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN










