Sock Tao ingin buka ‘buku baharu’ dengan BN

Sock Tao ingin buka ‘buku baharu’ dengan BN

PANG Sock Tao pada hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao ingin membuka ‘buku baharu’ dengan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kerajaan perpaduan terus kukuh melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Sock Tao berkata, ucapannya yang dimuat naik semula yang memaparkan dirinya mengecam BN itu merupakan video lama.

“Ucapan saya dibuat (dalam) Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2022. Masa itu memang kita (sedang) berlawan.

“Jadi, saya tiada komen kerana arena politik dalam negara ini memang (sudah) menyaksikan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dan saya sekarang sebagai calon akan bergerak dalam satu pasukan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pemuda MCA, Ling Tiang Soon berkongsi sebuah video lama di laman media sosialnya yang memaparkan Sock Tao membidas BN.

Ekoran itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching menggesa pemimpin-pemimpin MCA untuk bertindak lebih matang dalam mengkritik Sock Tao.

Nie Ching yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi berkata, ucapan itu dibuat di Kulai, Johor ketika Sock Tao membantunya berkempen dan bukan seperti mana didakwa berlaku di Kuala Kubu Bharu.

“Jadi, sila semak betul-betul, sebelum buat kenyataan yang bukan-bukan. Banyak lagi video pemimpin DAP yang mengutuk BN dan MCA.

“Saya percaya banyak juga video pemimpin BN yang mengutuk PH dan DAP (sebelum ini),” katanya.

Mengulas lanjut, Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, beliau tidak ingin memaksa MCA untuk membantunya berkempen dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Kita alu-alukan semua parti atau pasukan yang ingin tolong dalam kempen ini tetapi kalau tidak mahu tolong, kita tidak boleh paksa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan usaha dan perancangan penyandang DUN Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong.

Jelasnya, beliau ingin meneruskan perancangan dan agenda yang diaturkan oleh Kee Hiong sebelum ini sekiranya diberikan peluang untuk memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.

“Selain itu, kebajikan anak muda dan golongan wanita amat dekat dengan hati saya, jadi sudah tentu perancangan serta dasar-dasar baharu untuk memperkasakan dua kumpulan tersebut akan dimasukkan dalam manifesto saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, kerusi DUN Kuala Kubu Bharu diisytiharkan kosong susulan kematian Kee Hiong pada 20 Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 11 Mei hari pengundian membabitkan 40,226 pemilih berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN