SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang wanita dipercayai diugut anaknya di hadapan Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda di sini, semalam.
Dalam rakaman berdurasi beberapa saat itu, lelaki terbabit dilihat memegang satu objek sambil memarahi wanita berkenaan. Suspek berusia lingkungan 30-an merupakan anak tunggal kepada wanita berusia 50-an yang difahamkan berstatus orang kurang upaya (OKU) mental.
Mereka dipercayai berada di pejabat berkenaan bagi menghantar sebut harga kerja membaiki rumah di Kampung Segantang Garam, Merbok.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang tular di media sosial.
“Suspek telah dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan. Kita sedang menyiasat sama ada berlaku unsur ugutan atau kekerasan terhadap wanita berkenaan yang dipercayai ibunya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi kejadian dan mendapatkan rakaman video dari sudut lain bagi memastikan kejadian sebenar.
“Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan setakat ini polis belum menemui sebarang senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya. – UTUSAN










